Pasaran Halal Global Dijangka Cecah RM22.34 Trillion

Pasaran halal global kini semakin mendapat perhatian bukan sahaja kepada negara yang majoriti penduduknya beragama Islam malahan negara yang berada di Eropah juga berminat dengan pasaran halal global.

Pasaran halal global ini tidak hanya meliputi produk halal seperti makanan dan minuman malahan ia lebih luas daripada itu lagi seperti produk farmasi, farmaseutikal, dan perkhidmatan seperti kewangan, pelancongan dan logistik.

Hal ini merujuk kepada makna pasaran halal global yang bermaksud mana-mana industri yang yang memenuhi keperluan produk dan perkhidmatan yang mematuhi undang-undang dan prinsip Islam.

Istilah “halal” bermaksud dibenarkan atau sah menurut undang-undang syariah maka produk ataupun perkhidmatan yang melepasi syarat ini layak mendapat pengiktirafan halal daripada pihak yang berautoriti.

Pasaran ini kini semakin berkembang pesat dengan permintaan yang semakin meningkat di kalangan pengguna Muslim dan bukan Muslim yang lebih mengutamakan standard kebersihan dan kualiti produk halal.

Hal ini sejajar dengan populasi Muslim semakin meningkat yang dianggarkan lebih 1.9 bilion pada 2024 mendorong permintaan terhadap makanan halal terutamanya di negara-negara dengan populasi besar seperti Indonesia, Malaysia, Timur Tengah, dan bahagian Eropah dan Afrika maka ini satu peluang untuk semua negara mendapatkan segmen pasaran ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata perdagangan halal di pasaran global diunjurkan mencecah RM22.34 trillion sehingga tahun 2030.

Tren Dan Pertumbuhan Pasaran Industri Ini Semakin Memberangsangkan

Ramai pengguna bukan Muslim yang kini lebih memilih produk halal kerana piawaian kebersihan, kualiti dan etika yang ketat.

Halal ini dapat dilihat dalam artikel yang dikeluarkan oleh Global Haltech yang mengatakan semakin ramai pengguna bukan Muslim suka membeli produk makanan yang halal kerana terjamin kualiti kebersihannya seterusnya baik untuk kesihatan.

Maka tidak hairan statistik menunjukkan pada tahun 2022 pasaran makanan halal global dianggarkan bernilai sekitar USD 1.9 trilion, dan dijangka berkembang kepada USD 3.2 trilion menjelang 2027.

Bukan itu sahaja malahan industri kewangan Islam juga mendapat tempias yang positif terutamanya dalam produk perbankan, insurans (takaful), pelaburan dan instrumen seperti sukuk (bon Islam).

Dianggarkan aset kewangan Islam global bernilai lebih daripada USD 3 trilion ataupun USD 4.5 trilion tetapi angka ini mungkin lebih tinggi jika wakaf dan zakat dimasukkan sekali.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dalam kenyataannya yang lain berkata aset  kewangan Islam global dijangka mencecah AS$6.7 trilion (RM31.7 trilion) pada tahun 2027 berbanding AS$4.5 trilion (RM21.29 trilion) yang dianggarkan telah dicapai pada tahun 2022.

Selain itu, pelancongan halal yang merujuk kepada pelancongan yang mesra Muslim juga menyumbang kepada peningkatan yang mana sektor ini menyumbang lebih daripada USD 180 bilion pada 2019 dan dianggarkan akan mencapai USD 300 bilion menjelang 2026.

Cabaran Pasaran Halal

Industri ini tetap mempunyai cabarannya sehinggakan pernah dikritik oleh seorang ahli politik di Malaysia yang mengatakan penetapan sijil halal kepada premis makanan akan membebankan peniaga.

Antara cabaran yang dikenalpasti dalam industri halal ini ialah tiada piawaian halal global yang seragam, menyebabkan pelbagai negara mengamalkan standard yang berbeza.

Sebagai contoh, Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menguatkuasakan piawaian yang ketat manakala negara lain mungkin menggunakan pendekatan yang lebih longgar atau berbeza.

Hal ini akan menimbulkan kekeliruan bagi pengeluar dan pengguna serta menyukarkan proses eksport dan import produk halal.

Di sesetengah negara, terdapat lebih daripada satu badan yang mengeluarkan sijil halal, dengan peraturan yang berbeza-beza seterusnya menyukarkan syarikat antarabangsa yang ingin memastikan produk mereka diterima di pasaran-pasaran yang berbeza.

Proses untuk mendapatkan pensijilan halal juga mahal dan kompleks terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mereka mungkin perlu membuat penyesuaian besar terhadap rantaian pengeluaran termasuk pemisahan bahan-bahan halal daripada yang tidak halal, serta memastikan kebersihan dan kesucian sepanjang proses.

Pensijilan halal bukan hanya satu proses sekali sahaja kerana syarikat perlu memastikan kepatuhan berterusan yang melibatkan audit berkala dan pengesahan semula. Ini boleh meningkatkan kos operasi syarikat.

Walaubagaimanapun, kerumitan dan cabaran ini tidak boleh dijadikan alasan untuk pihak syarikat mahupun peniaga mengabaikan tentang kepentingan memohon sijil halal.

Mereka boleh mendapatkan penjelasan yang terperinci daripada pihak JAKIM sendiri tentang prosedurnya memandangkan JAKIM kini sedang mempertimbangkan untuk semua premis makanan milik peniaga Islam mendapatkan sijil halal JAKIM.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Nama Asal Laut China Selatan Dahulu Adalah Laut Champa

Next Post

Jangan Cabar Identiti Nasional Malaysia

Related Posts