Identiti nasional Malaysia semakin dicabar apabila isu melibatkan sensitiviti orang Melayu dan agama Islam di Malaysia semakin meningkat sedangkan kedua-dua elemen itu merupakan identiti nasional Malaysia.
Sebelum Tanah Melayu merdeka dan Malaysia ini dibentuk lagi orang Melayu yang merupakan rakyat tempatan dan terawal di sini sudah sekian lama mengamalkan agama Islam tanpa adanya gangguan.
Kini sudah ada suara-suara sumbang yang ingin mengganggu struktur identiti negara Malaysia ini apabila dengan beraninya mempertikaikan pelaksanaan polisi yang melibatkan agama Islam di Malaysia.
Hal ini merujuk kepada kenyataan Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) terhadap langkah kerajaan mahu memperkasakan peranan JAKIM di jabatan-jabatan kerajaan.
Bukan itu sahaja malahan usaha kerajaan dalam membantu pesakit dari Palestin untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dan penguatkuasaan sijil halal JAKIM juga mendapat respon yang negatif daripada sebahagian ahli politik dan rakyat Malaysia.
Hal ini menunjukkan bahawa sudah ada usaha jahat untuk mencabar identiti negara Malaysia ini terutamanya dalam aspek Melayu dan Islam.
Pembentukan Identiti Nasional Sepatutnya Kuat Diperkasa
Hak orang Melayu terus dicabar dan ditekan apabila kini semakin kuat kencangnya khabar yang mendakwa orang Melayu terus dibelenggu dengan masalah tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan malahan langsung tidak diganti oleh kerajaan.
Pasaran hartanah kini lebih banyak menjual rumah yang mahal harganya menyebabkan orang Melayu tidak mampu untuk memilikinya.
Jika ada pun rumah yang ada di bandar, orang Melayu hanya boleh memiliki rumah pangsapuri murah sahaja.
Sedangkan dalam Perlembagaan sudah termaktub bahawa orang Melayu sepatutnya memiliki simpanan tanah yang banyak namun agak menyedihkan kini kebanyakan tanah rizab milik orang Melayu ini dibangunkan untuk projek pembangunan yang mewah.
Projek mewah itu dibina di atas tanah rizab milik orang Melayu namun orang Melayu sendiri tidak mampu memilikinya dek harganya yang mahal.
Kerajaan sepatutnya sedar bahawa pembentukan identiti nasional melibatkan Melayu dan Islam ini mesti terus diperkasa bukannya makin melemahkannya.
Hal ini seakan tiada gunanya jika pemimpin Melayu itu sendiri memimpin kerajaan sedangkan dalam masa yang sama imej Melayu dan Islam terus diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Parti BERJASA Malaysia menyeru untuk semua pihak yang masih cintakan nasib negara ini untuk terus bersuara dalam memelihara kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta Islam yang merupakan tunjang kepada pembentukan negara ini.