Nama Asal Laut China Selatan Dahulu Adalah Laut Champa

Konflik perebutan wilayah maritim di Laut China Selatan antara China dengan negara-negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia menimbulkan polemik yang besar sehinggakan ada pendapat yang mengatakan seeloknya nama asal Laut China Selatan digunakan bagi melawan naratif China.

Pendapat ini rata-ratanya dilontarkan di media sosial setelah melihat kesombongan China dalam menceroboh sempadan sempadan wilayah maritim milik Malaysia.

China daripada dahulu hingga kini sering menceroboh sempadan laut milik Malaysia terutamanya di perairan Sarawak dan terkini tiga buah kapal pengawal China iaitu CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402 dikesan berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia di Laut China Selatan.

Walaupun China tidak pernah menggunakan hujah dakwaan nama “China” sebagai asas tuntutan mereka terhadap laut itu namun ramai pihak berpendapat nama Laut China Selatan perlu diubah kerana ia milik banyak negara bukannya China sahaja.

Maka seeloknya untuk kita mengetahui dengan lebih lanjut mengenai apakah nama sebenar ataupun nama asal Laut China Selatan ini.

Laut Champa Adalah Nama Asal Laut China Selatan

Mengikut rekod sejarah yang ada pada beberapa sumber, nama asal Laut China Selatan sebenarnya langsung tiada nama “China” untuk merujuk kepada laut tersebut.

Antara nama yang ditemui dalam rekod sejarah terdahulu ialah Laut Champa dan Laut Melayu ataupun “Malayan Sea“.

Nama ini merujuk kepada kerajaan Champa yang merupakan sebuah kerajaan maritim berpusat di wilayah di wilayah yang kini dikenali sebagai Vietnam Tengah dari abad ke-2 hingga ke-19.

Champa merupakan salah satu kuasa perdagangan penting di Asia Tenggara, dengan hubungan erat dengan China, India, dan beberapa kerajaan Nusantara.

Kerajaan ini terkenal sebagai kuasa maritim, dan laut yang berdekatan dengan kerajaan tersebut secara semula jadi dinamakan sempena Champa.

Walaupun masyarakat mereka dahulu dikenali sebagai orang Champa, dari segi etnolinguistik mereka dikenali sebagai orang Melayu yang tergolong dalam rumpun Austronesia.

Disebabkan perkaitan yang rapat antara Champa dengan Melayu, maka pedagang-pedagang dahulu terutamanya daripada negara Arab ada menulis nama sebuah laut dengan nama Laut Melayu.

Namun sehingga kini masih tiada lokasi yang tepat ataupun spesifik di manakah Laut Melayu itu terletak tetapi ramai yang berpendapat ia mungkin terletak di sekitar wilayah Laut China Selatan yang dikenali kini.

Sedangkan dahulunya China tidak pernah menamakan wilayah maritim yang menjadi rebutan ini dengan nama Laut China Selatan kerana nama yang digunakan dahulu adalah Laut Selatan ataupun Nan Hai.

Nama ini digunakan dalam banyak rekod sejarah purba China dan mencerminkan kedudukan laut tersebut yang terletak di selatan tanah besar China.

Indonesia Ubah Nama Kepada Laut Natuna Utara

Malaysia mungkin boleh mencontohi tindakan Indonesia yang berani mengubah nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna Utara.

Indonesia berpendapat nama Laut Natuna Utara ini lebih dekat dengan identiti negara mereka kerana di situnya terletak Pulau Natuna yang berada di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Tindakan Indonesia ini akhirnya menimbulkan kemarahan China sehingga pernah terjadinya ketegangan di antara China dengan Indonesia di wilayah Kepulauan Natuna.

China menegaskan penetapan nama itu tidak sah kerana dilihat ‘mencabul’ kehormatan China yang kononnya mempunyai hak mutlak terhadap seluruh Laut China Selatan.

Penetapan nama Laut Natuna Utara ini dilihat sebagai satu visi penting Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Jokowi untuk Indonesia meluaskan pengaruh kuasa di kawasan lautan melalui visi Poros Maritim Dunia.

Mungkin Malaysia boleh melakukan tindakan yang sama dalam memastikan Malaysia juga mempunyai hak ke atas wilayah laut tersebut.

Tunjukkan kepada China bahawa Malaysia tetap ada kedaulatannya terhadap Laut China Selatan dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh negara luar.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa Itu DNS Yang Ingin Dilaksanakan Di Malaysia?

Next Post

Pasaran Halal Global Dijangka Cecah RM22.34 Trillion

Related Posts