HULU SELANGOR – Peruntukan sebanyak RM5.21 juta yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk pembangunan Hulu Selangor baru-baru ini dilihat sebagai satu cubaan ‘memancing’ pengundi Kuala Kubu Bharu (KKB) yang akan membuat pengundian di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei nanti. Ada pihak yang melihat pengumuman yang dibuat oleh Nga Kor Ming ini seakan cubaan untuk berkempen secara terang dan jelas kepada rakyat KKB.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata peruntukan sebanyak RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di KKB telah melanggar etika pilihan raya.
Jawatankuasa pemandu Bersih berkata pihaknya mengambil serius pengumuman menteri KPKT itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN berkenaan.
“”Bersih melihat pengumuman ini telah melanggar garis panduan Larangan 3C: No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) yang telah digariskan Bersih sejak Pilihan Raya Negeri 2023″.
“”Seperti dilaporkan media, Nga turut menyeru penduduk balik kampung dan meminta mengundi parti yang ‘baik, prihatin, progresif’ walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan,” katanya.
Namun demikian, DAP Selangor tampil mempertahankan pengumuman yang dibuat menteri DAP itu kerana ia dibuat bukan dalam tempoh kempen.
Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han berkata menteri KPKT juga telah memberi penjelasan mengenai perkara itu semalam dan tidak sepatutnya menjadi isu.
“Menteri KPKT sudah buat penjelasan bahawa peruntukan itu satu amalan biasa dan lagi pun penamaan calon belum diadakan lagi”.
“Menteri KPKT juga turun ke Terengganu dan Kelantan hari ini beri peruntukan yang sama”
“Sana tiada PRK tapi kerja-kerja untuk beri peruntukan kepada PBT tetap dijalankan untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di kawasan PBT,” katanya.
Terdahulu, Nga menafikan peruntukan RM5.21 juta untuk pembangunan daerah ini melalui program Sentuhan Kasih mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan. Sambil itu juga terdapat ura-ura yang mengatakan wujudnya konflik antara UMNO dan MCA dalam isu perletakan calon untuk PRK KKB nanti.
SUMBER – Malaysiakini