KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertindak biadab dengan sewenang-wenangnya menuduh mereka yang memboikot rangkaian restoran makanan segera milik Amerika Syarikat (AS) sebagai penghasut. Beliau juga berkata tindakan mereka ini lebih kepada menjahanamkan ekonomi negara sehingga menjejaskan pekerja di restoran makanan segera terbabit.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Cina mengenai pekerja yang terkesan dengan kempen boikot terhadap sebuah jenama makanan segera, yang mana menjadi antara sasaran kempen boikot anti-Israel sejak tahun lalu.
Seperti yang dipetik dalam kenyataannya di media sosial, beliau menegaskan agar rakyat Malaysia berhati-hati dengan golongan ‘penghasut’ yang merujuk kepada pihak yang memboikot sambil menekankan fokus terkini sepatutnya terarah kepada usaha memajukan ekonomi negara.
Kenyataan beliau ini terus mendapat kecaman yang keras daripada netizen yang mengatakan Nga Kor Ming cuba meletakkan kesalahan kepada golongan pemboikot sebagai punca kepada kelemahan ekonomi negara sedangkan punca sebenarnya datang daripada kelembapan kerajaan menguruskan ekonomi negara.
BDS Malaysia juga memberikan reaksi yang sama dengan mengatakan Nga Kor Ming telah mengeluarkan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan begitu menghina. Pengerusi BDS Malaysia, Nazari Ismail mempersoalkan Nga kerana cuba menuduh kempen tersebut sebagai punca kepada kemerosotan ekonomi.
Nga Kor Ming dilihat bukan sahaja biadab dengan menggelar golongan yang bersolidariti bersama Palestin sebagai ‘penghasut’ malahan dilihat bacul dengan cuba mengalihkan isu kelemahan kerajaan terutamanya dalam isu ekonomi dan meletakkan kelemahan itu berpunca daripada rakyat.
Di Malaysia, syarikat seperti KFC, McDonalds dan Starbucks telah mendapat impak yang besar hasil daripada gerakan memboikot produk yang mempunyai perkaitan dengan AS mahupun Israel. Gelombang pemboikotan ini bukan sahaja dirasai di Malaysia malahan ia turut berlaku di seluruh dunia.
SUMBER: MalaysiaNow