BANGI – Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun baru-baru ini merayu agar rakyat Malaysia menghentikan kempen memboikot Starbucks Malaysia hingga menyebabkan Starbucks rugi. Selain daripada menyebabkan Starbucks rugi, beliau juga dakwa ia turut akan merugikan rakyat Malaysia sendiri.
Kenyataan beliau ini boleh dikaitkan dengan laporan kerugian bersih Berjaya Corp Bhd meningkat lebih empat kali ganda pada September-Disember tahun lepas, berbanding suku yang sama pada 2022, berikutan perniagaan runcit makanannya terjejas teruk akibat pemboikotan kafe Starbucks di tengah-tengah konflik Israel-Palestin yang berterusan sehingga kini.
Kerugian bersih kumpulan bagi suku kedua berakhir 31 Dis 2023 (2QFY2023) melonjak kepada RM116.32 juta daripada RM24.81 juta yang ditanggungnya pada 2QFY2022, walaupun hasil hanya merosot 4.4% kepada RM2.23 bilion daripada RM2.34 bilion, pemfailan bursa menunjukkan.
Dalam arus kempen boikot yang masih konsisten ini, kini sudah tiba masanya rakyat Malaysia menyokong jenama kedai kopi tempatan. Kempen boikot ini boleh digunakan sekali sebagai kempen sokong produk tempatan yang sebelum ini agak tenggelam dengan produk-produk antarabangsa.
Rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk menikmati gaya hidup peminum kopi tegar dengan membeli kopi di San Francisco Coffee, Gigi Coffee, Zus Coffee, Bask Bear, Richiamo Coffee dan Kopi Saigon. Semua jenama ini adalah jenama yang dibangunkan oleh anak-anak tempatan Malaysia.
Jika negara jiran kita boleh berbangga dengan jenama Kopi Kenangan yang sudah pun meluaskan pasaran di peringkat antarabangsa, rakyat Malaysia juga berhak untuk berbangga dengan jenama kopi tempatan kita dengan menyokong perniagaan mereka.