Nga Kor Ming tidak sepatutnya menggunakan kelebihan jawatan beliau sebagai seorang menteri di dalam kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan yang sesuka hati.
Hal ini susulan kenyataan Nga Kor Ming yang menggelar PAS sebagai sesat seribu sesat dan meminta mereka kembali ke pangkuan jalan susulan kritikan PAS tentang sambutan Krismas di kementeriannya.
Presiden BERJASA Zamani Ibrahim pantas menempelak kenyataan Nga Kor Ming dan menyifatkan beliau sebagai biadab dan kurang ajar.
Nga Kor Ming sepatutnya tahu bahawa sambutaan perayaan Krismas adalah sambutan keagamaan maka kritikan PAS tersebut adalah berasas sama sekali dalam menjaga kepentingan orang Islam di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa ini adalah bukan isu PAS kerana ini adalah isu melibatkan maruah Islam dan larangan terhadap penganutnya untuk menyambut perayaan melibatkan agama lain.
“Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menetapkan sekian lama bahawa umat Islam dilarang untuk menyambut sambutan perayaan keagamaan lain dan hukumnya adalah haram”, tegas beliau.
Orang Kafir Mekah Dahulu Sudah Sekian Lama Bersikap Seperti Nga Kor Ming
Jika dirujuk kepada Surah Al-Kafirun, surah tersebut menyatakan dengan jelas bahawa orang Islam tidak akan menyembah dengan apa yang orang bukan Islam sembah.
Jelas beliau, surah ini diturun selepas orang kafir Mekah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW untuk mengajak orang Islam hidup secara harmoni di Mekah.
Harmoni yang dimaksudkan oleh orang kafir Mekah ini mereka mahu hidup dalam suasana dan amalan Islam namun dalam masa yang lain mahukan juga untuk orang Islam hidup dan beramal seperti mana mereka amalkan dalam agama mereka.
Kisah ini seakan sama dengan sikap menteri daripada parti politik DAP ini yang mahukan keharmonian diwujudkan sesama kaum di Malaysia namun langsung tidak menjaga sensitiviti terhadap orang Islam.
Seruan daripada Allah SWT di dalam Surah Al-Kafirun itu terpakai selama-lamanya untuk umat Islam maka larangan terhadap sambutan mana-mana perayaan keagamaan itu perlu dipatuhi oleh semua orang.
Melihat kepada kebiadaban Nga Kor Ming, beliau jelas setuju dengan cadangan kerajaan yang mahu meletakkan pegawai JAKIM di setiap kementerian.
Beliau melihat pegawai JAKIM di setiap kementerian ini akan menjadi pakar rujuk kepada menteri ataupun kakitangan kementerian untuk melakukan sebarang perkara yang memerlukan pandangan orang yang mahir di dalam agama.
Ini bukan kali pertama menteri ini bersikap lebih sudu dari kuah tentang isu umat Islam. Sebelum ini pun beliau pernah mengulas isu berkenaan kalimah Allah di stokin yang dijual oleh KK Mart dengan menempelak pihak yang memperjuangkan isu ini sebagi penghasut kepada perkauman.