Miskin bandar merupakan satu topik yang sering dikupas oleh ahli politik dan ahli ekonomi dalam menggambarkan suasana kesempitan ekonomi yang dirasai oleh rakyat marhaen yang tinggal di bandar.
Isu ini dilihat serius selari dengan artikel daripada Utusan Malaysia yang mengatakan kemiskinan di bandar meningkat tahun lalu pada 4.5 peratus daripada 3.9 peratus menurut Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022.
Statistik ini amat menyedihkan kerana tujuan utama penghijrahan ke bandar adalah ingin mengubah nasib ekonomi keluarga dengan beranggapan menetap di bandar dapat menjamin kehidupan yang lebih berkualiti kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak.
Namun sebaliknya berlaku apabila beban berganda yang menimpa mereka apabila bukan sahaja tidak dapat membantu ekonomi keluarga di kampung malahan terbeban dengan ketidaktentuan ekonomi di bandar.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Miskin Bandar?
Miskin bandar adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan individu atau keluarga yang tinggal di kawasan bandar tetapi hidup di bawah paras kemiskinan.
Mereka ini sering kali bekerja di sektor informal, seperti penjual jalanan, pekerja pembinaan, atau pembersih, yang mana pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan di bandar yang tinggi.
Dalam banyak kes, mereka tinggal di perumahan yang tidak selamat, sesak, dan tidak mempunyai akses yang memadai kepada kemudahan asas seperti air bersih, sanitasi, dan elektrik.
World Bank telah mengkategorikan miskin bandar ini kepada tiga kumpulan.
Kumpulan yang pertama ialah baru menjadi miskin. Mereka ini baru menjadi miskin kebanyakannya adalah disebabkan oleh pembuangan atau pemberhentian pekerja oleh majikan samada swasta atau kerajaan.
Kumpulan yang kedua ialah kemiskinan biasa iaitu individu atau keluarga yang bekerja di bandar tanpa mempunyai sebarang kepakaran.
Mereka ini bekerja di industri pembuatan dan perkhidmatan dengan pendapatan tidak di bawah paras kemiskinan tetapi jika berlaku peningkatan harga barangan keperluan menyebabkan mereka berada di bawah paras kemiskinan.
Kumpulan yang terakhir iaitu kumpulan yang ketiga ialah kemiskinan tegar yang disebabkan oleh proses peralihan dari luar bandar ke bandar dan bukannya keadan-keadaan tertentu dalam penempatan bandar.
Menurut Hulme, Moore dan Shepherd (2002:10) pula berpendapat bahawa ciri penentu ‘kemiskinan tegar adalah tempoh kemiskinan yang berterusan’.
Apakah Faktor Penyebab Masalah Ini?
Antara faktor berlakunya miskin bandar ialah proses urbanisasi yang pesat dan tidak terkawal. Urbanisasi yang pesat tanpa perancangan yang baik sering mengakibatkan peningkatan kemiskinan bandar.
Apabila ramai individu berpindah dari kawasan luar bandar ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan, bandar-bandar mungkin tidak dapat menampung peningkatan populasi ini.
Akibatnya, wujudlah kawasan setinggan dan perumahan tidak formal yang sering dihuni oleh golongan miskin bandar.
Kos hidup yang tinggi juga menjadi punca kepada isu ini dengan kehidupan di bandar seringkali lebih mahal berbanding dengan luar bandar.
Harga makanan, sewa rumah, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan yang tinggi di bandar boleh membebankan golongan berpendapatan rendah.
Walaupun mereka mungkin memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk luar bandar, kos hidup yang tinggi menyebabkan mereka tetap dalam kemiskinan.
Ketiadaan perumahan yang mampu milik di bandar memaksa golongan miskin bandar untuk tinggal di kawasan setinggan atau rumah tidak formal yang tidak selamat.
Perumahan ini sering kali kekurangan akses kepada kemudahan asas seperti air bersih, sanitasi, dan elektrik, yang seterusnya menjejaskan kualiti hidup mereka.
Selain itu, ketidaksamaan peluang pekerjaan juga menjadi punca kepada berlakunya miskin bandar di Malaysia.
Peluang pekerjaan di bandar mungkin lebih banyak, tetapi tidak semua pekerjaan menawarkan gaji yang mencukupi untuk menampung kehidupan di bandar.
Ramai individu terpaksa bekerja dalam sektor informal yang tidak menyediakan jaminan sosial atau perlindungan pekerja, menjadikan mereka lebih terdedah kepada kemiskinan.
Kemiskinan bandar adalah masalah yang kompleks dan memerlukan pendekatan holistik untuk diatasi. Walaupun bandar-bandar menawarkan banyak peluang, ketidaksamaan yang wujud menjadikan sebahagian penduduk terpinggir dan hidup dalam kemiskinan.
Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa pembangunan bandar berlaku secara inklusif dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan semua golongan penduduk, termasuk yang miskin.
Dengan perancangan yang tepat, pendidikan yang berkualiti, dan kerjasama yang baik antara semua pihak, masalah kemiskinan bandar boleh dikurangkan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup keseluruhan masyarakat bandar.