Sekuriti Makanan & Nasib Nelayan Yang Terpinggir

Belanjawan 2023

Pembentangan Belanjawan 2023 yang juga dipanggil sebagai Belanjawan MADANI telahpun selesai dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang Jumaat lepas.

Peruntukan belanjawan yang terbesar dengan jumlah sebanyak RM388.1 billion ini seterusnya akan dibahaskan bersama-sama dengan pihak pembangkang di Parlimen bermula Isnin minggu ini.

Telinga penulis tertumpu kepada ucapan Perdana Menteri sewaktu membentangkan mengenai peruntukan kepada golongan ‘barisan hadapan’ untuk pengeluaran makanan seperti petani, penternak dan nelayan.

Di dalam ucapan beliau, kerajaan memperuntukkan subsidi dan insentif sebanyak RM16 billion untuk harga padi, baja padi dan padi huma.

Kerajaan juga telah menetapkan BERNAS untuk bersetuju mengongsikan keuntungan dengan pesawah sebanyak 30%.

Golongan pesawah juga mendapat durian runtuh tambahan apabila kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan tunai sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan.

Beralih kepada sektor agromakanan, peruntukan sebanyak RM1 billion melalui BNM di bawah Skim Pembiayaan Agrofood disediakan untuk membantu pengusaha agromakanan dalam usaha untuk menaikkan produktiviti pengeluaran makanan.

Tidak ketinggalan juga MDEC akan menganjurkan program Digital AgroTech bagi melatih lebih ramai pekebun kecil dengan kemahiran teknologi.

Di dalam belanjawan ini kerajaan juga mengambil tindakan reaktif dalam soal pembangunan tanah terbiar.

Oleh hal yang demikian, FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi yang berada di bawah Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membangunkan tanah 800 ekar bagi aktiviti pertanian.

LTAT juga mengambil pendekatan yang sama dengan menyediakan 70 ekar tanah bagi pertanian bijirin jagung domestik.

Penulis berpendapat peruntukan ini yang paling menarik untuk didengar kerana kenaikan harga ayam di negara kita berpunca daripada dedak import yang mahal akibat krisis Rusia – Ukraine. Maka, bijirin jagung domestik ini berpotensi untuk menjadi sumber pengganti bagi menghasilkan dedak tempatan.

Akhir sekali, kerajaan turut akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dengan menyediakan bajet sebanyak RM30 juta untuk projek agromakan.

Itu semua rangkuman beberapa peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi memantapkan lagi sekuriti ataupun keterjaminan makanan di negara kita.

Pasca COVID-19 telah menyaksikan betapa kritikalnya sekuriti makanan negara kita dan memang sewajarnya kerajaan memperuntukkan bajet yang besar untuk produktiviti makanan negara kita.

Namun, kerajaan seakan terlupa ataupun meminggirkan nasib golongan ‘barisan hadapan’ pengeluaran makanan iaitu nelayan.

Jika diteliti di dalam perincian di dalam bajet itu, tiada langsung peruntukan khas untuk nelayan.

Walaupun elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan masih diteruskan namun peruntukan khas sewajarnya diberikan kepada mereka juga bagi meringankan beban golongan ini.

Negara kita amat kaya dengan hasil laut dengan mencatatkan sebanyak 1,328,042 tan metrik bersamaan nilai RM10.802 billion pada 2021.

Sumber ini mempunyai potensi untuk dimanfaatkan oleh nelayan tempatan lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan daripada kerajaan.

Sampai bila kita ingin melihat nelayan asing yang mempunyai kelengkapan lebih canggih berbanding nelayan tempatan mencuri hasil laut negara kita sehingga negara kita mengalami kerugian sebanyak RM4.25 billion setiap tahun.

Ini bermakna nelayan tempatan bukan sahaja berdepan dengan cabaran dengan cuaca yang tidak menentu untuk turun ke laut malahan berdepan juga dengan ancaman daripada nelayan asing yang dilengkapi senjata api.

Jika benar kerajaan ingin serius memantapkan keterjaminan makanan negara, sepatutnya peruntukan yang diberikan perlu menyeluruh tanpa meminggirkan sesiapa pun.

Nota: Kenyataan dan pendapat penulis tidak mewakili sesiap pun hatta parti BERJASA sendiri.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah

Filem Mentega Terbang Cemar Kesucian Islam – Dr Fadilah

Next Post
Cuti-Cuti Anak Watan

Wanita BERJASA Gencar Demi Masa Depan Negara

Related Posts