Bangi – Selesai sahaja lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China untuk permeteraian pelaburan antara Malaysia dengan China, beliau terus sahaja mengeluarkan kenyataan yang agak cuai melibatkan kepentingan negara.
Ini susulan kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyatakan PETRONAS akan terus melalukan aktiviti cari gali di kawasan bertindih.
Apakah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri dengan kawasan bertindih?
Adakah kawasan itu milik bersama antara Malaysia dan China?
Benar memang pelaburan ini dilihat sebagai manfaat yang besar untuk ekonomi Malaysia namun adakah pelaburan yang tinggi ini perlu dibayar dengan menggadai hak kehormatan dan kedaulatan negara?
Jika dilihat tapak loji cari gali yang dilakukan oleh PETRONAS di Laut China Selatan, antaranya ia terletak di West Capella dan Lapangan Gas Kasawari yang masih terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik kita.
Di dalam United Nations Convention on The Law of the Sea 1982 (UNCLOS) telah dinyatakan bahawa jarak 200 batu nautika daripada pantai adalah kawasan peraira ZEE milik negara.
Mujur masih ada lagi ahli kabinet di dalam kerajaan yang memperbetulkan kesilapan tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata di dalam Dewan Negara baru-baru ini bahawa ZEE bukannya kawasan bertindih malahan ia memang kawasan berdaulat di bawah negara Malaysia.
Ini bermakna tiada asas yang kukuh langsung daripada Perdana Menteri bahawa PETRONAS sedang ataupun akan terus melakukan cari gali di kawasan bertindih.
Kenyataan ini disokong oleh Geostrategis daripada Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan yang mengatakan bahawa Malaysia mempunyai hak yang sepenuhnya untuk melakukan aktiviti pentadbiran dan mengambil bahan mentah di kawasan ZEE kita tanpa halangan.
Mungkin Perdana Menteri masih lagi keliru yang mana satu kawasan bertindih atau kawasa ZEE milik Malaysia.
Untuk pengetahuan Perdana Menteri, China menuntut sebahagian Laut China Selatan berdasarkan tuntutan ‘Nine Dash Line’.
Tuntutan China sehingga menceroboh Beting Patinggi Ali, Lapangan Gas Kasawari dan dahulu West Capella adalah tiada asas langsung kerana tuntutan itu hanya setakat sehingga Pulau Hainan yang jauh jaraknya dengan Sarawak iaitu sejauh 1,800 kilometer.
Rakyat tahu Malaysia berjaya memperoleh pelaburan yang tertinggi daripada Beijing namun janganlah kegembiraan itu rupanya dibalas dengan penggadaian hak dan maruah negara kepada penceroboh.