Ayuh Perkasakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia merupakan inisiatif kerajaan Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia membeli dan menyokong produk keluaran tempatan.

Kempen ini dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan memilih produk buatan Malaysia serta bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan permintaan terhadap barang tempatan.

Sekarang dilihat masa yang sesuai untuk menggerakkan kembali kempen Beli Barangan Buatan Malaysia ini dikala sedang hangatnya berlaku lambakan produk murah daripada China yang boleh ‘membunuh’ peniaga tempatan.

Jika keadaan ini terus berlaku, hal ini tidak mustahil akan menunjukkan pasaran produk tempatan akan dikuasai oleh jenama luar terutamanya China.

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia Sudah Wujud Sejak 1984

Kerajaan Malaysia sebenarnya sudah melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sejak tahun 1984 lagi.

Kempen ini dilancarkan sewaktu Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan dasar perindustrian yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Namun demikian, kempen ini mula dikurangkan hebahannya kepada rakyat awam pada 1988 disebabkan oleh kekangan peruntukan daripada pihak kerajaan.

Walaubagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan semula program ini pada tahun 2009 dan dijenamakan semula sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi mempertingkatkan perbelanjaan domestik berikutan krisis kewangan global.

Pelancaran semula bertujuan untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli barangan buatan Malaysia.

Objektif kempen ini tetap sama iaitu merangsang  pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan sekaligus membantu meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ia juga menggalakkan rakyat mengutamakan barangan tempatan sekaligus meningkatkan semangat patriostisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, kempen ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk/ barangan Malaysia yang juga standing dengan barangan import.

Pengusaha tempatan juga dapat manfaatnya di mana kempen ini dilaksanakan untuk membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan serta mempamerkan produk mereka kepada rakyat Malaysia sekaligus menarik minat orang ramai terhadap barangan tempatan.

Kempen ini sehingga kini masih diteruskan perlaksanaannya namun dilihat kurang hebahannya di media bercetak mahupun televisyen sehinggakan terdapat sebahagian daripada rakyat Malaysia tidak mengetahui sama ada kempen ini masih dijalankan ataupun tidak.

Peniaga Tempatan Memperoleh Banyak Manfaat Daripada Kempen Ini

Kempen ini mampu memberikan banyak manfaat dan kebaikan kepada rakyat hatta peniaga tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mereka mampu memasarkan produk mereka dengan lebih luas hasil sokongan rakyat kepada produk tempatan.

Keadaan ini mampu menaikkan lagi industri tempatan seterusnya membantu mereka untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Hal ini juga dalam masa yang sama dapat membantu kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Contohnya, lambakan industri food and beverages (F&B) seperti Chatime, Tealive, Mokti, Richiamo dan Marrybrown menunjukkan anak tempatan mampu untuk membina rangkaian restoran makanan segera yang setanding dengan jenama antarabangsa lain.

Jenama mereka begitu kuat dan keuntungan yang dicatatkan oleh mereka begitu kuat sehinggakan Richiamo Coffe mampu membuka rangkaian perniagaan lain iaitu Richiamo Mart dan memperoleh anugerah Brand of The Year 2022 hasil sokongan rakyat tempatan.

Marrybrown juga dalam kenyataannya pada Mac 2024 mengatakan bahawa kini mereka sedang serius merancang untuk membuka 40 outlet baharu di Kelantan yang akhirnya manfaat itu bakal diperoleh oleh rakyat tempatan melalui penawaran peluang pekerjaan.

Selain itu, kempen ini terbukti berkesan apabila sudah banyak produk tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Tealive ketika ini sudah mempunyai lebih 650 cawangan dengan 611 cawangan daripadanya adalah di Malaysia manakala selebihnya di Vietnam, Filipina, Australia, Brunei, Kemboja dan Myanmar.

Richiamo juga mengambil langkah yang sama dengan mula merancangan untuk memasuki pasaran luar negara dengan menjadikan Arab Saudi sebagai fokus utama.

Keyakinan mereka untuk membuka outlet di luar negara semuanya daripada sokongan rakyat Malaysia yang meyakini kualiti produk mereka selama ini.

Sudah banyak bukti kejayaan kempen ini kepada peniaga tempatan maka kerajaan seharusnya menggencarkan lagi kempen ini dengan lebih kuat.

Malaysia mempunyai banyak produk yang berkualiti dan kerajaan mahupun rakyat seharusnya memberikan sokongan penuh kepada mereka untuk terus mengukuhkan perniagaan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa Sudah Jadi Dengan MAS?

Next Post

Mengapa Laut China Selatan Menjadi Rebutan?

Related Posts