Bidang pertanian kini sudah menjadi satu industri yang amat penting kepada negara kerana ia menjadi salah satu elemen utama untuk keselamatan negara melalui pembekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu semalam di Parlimen mengatakan bahawa anak muda sekarang ini lebih mementingkan keuntungan segera dan tidak berminat untuk menceburi bidang pertanian.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa wujud petani yang meraih hasil jualan jutaan ringgit hasil penanaman durian namun majoritinya diceburi oleh kaum Cina.
Kenyataan ini menunjukkan bahawa agak kurang kaum Melayu untuk menceburi bidang pertanian jika dibandingkan dengan kaum Cina.
Beliau tegaskan anak muda sekarang mahukan hasil yang cepat dan tidak mahu melalui ketekunan dan kesabaran yang tinggi sebelum mendapatkan hasil yang diinginkan oleh mereka.
Persoalannya, adakah benar dakwaan Mat Sabu itu yang mengatakan anak muda sekarang terutamanya kaum Melayu tidak berminat menceburi bidang pertanian?
Malaysia Sebenarnya Ketandusan Penglibatan Belia Dalam Sektor Pertanian
Dakwaan Mat Sabu ini dilihat ada benarnya jika merujuk kepada laporan Astro Awani yang mengatakan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian di tahap yang rendah dengan hanya 15 peratus daripada 14.6 juta belia di Malaysia yang terlibat dalam bidang ini.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), industri pertanian negara memerlukan lebih 186,000 tenaga kerja warga asing di seluruh negara bagi menampung kekurangan bekalan tenaga buruh tempatan.
Namun demikian, sebenarnya sudah lama warga asing telah mengusahakan ladang sayur-sayuran di negara ini tanpa cara yang sah ataupun kata lainnya secara haram terutamanya di kawasan Cameron Highlands.
Bukan sahaja Cameron Highlands malahan ada laporan yang mengesahkan ada petani daripada Bangladesh mengusahakan sejumlah 12 hektar tanah di Sekinchan dan beberapa tempat lagi di daerah Kerian, Perak dan utara Selangor.
Sektor ini adalah sektor yang penting sama seperti penternakan untuk keselamatan makanan negara.
Sungguh menyedihkan apabila bekalan makanan negara dikuasai oleh warga asing dan akhirnya kuasa pasaran untuk bekalan makanan ini akan ditentukan oleh warga asing.
Rakyat Malaysia akan kehilangan terhadap kedaulatan makanan akibat daripada sektor terpenting ini yang masih bergantung kepada warga asing.