Kuala Lumpur – Naib Presiden Parti BERJASA, Ir. Lukman Al-Hakim menyifatkan desakan untuk menghapuskan SOSMA perlu difahami dengan teliti tentang latar belakang dan sejarah akta tersebut sebelum membuat sebarang kenyataan.
Ujar beliau, “Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA diluluskan oleh Dewan Rakyat dan digazetkan pada tahun 2012, ketika itu Malaysia di bawah kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak.
Akta ini secara tidak langsung menjadi akta pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri yang lebih dikenali sebagai ISA yang telah berkuat kuasa sejak 1960 bagi menjamin keselamatan negara terutama dari ancaman pengganas serta anasir luar yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman tanahair”.
Akta ini membenarkan penahanan suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan, lebih pendek dari tempoh 60 hari dalam ISA. Namun begitu, suspek berkemungkinan ditahan lebih lama jika berlaku kelewatan dalam proses mahkamah
Tambah beliau, “cuba bayangkan bagaimana negara mahu berhadapan dengan insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 tanpa akta khusus ini?
Namun begitu,terdapat pihak yang cuba menggunakan SOSMA sebagai senjata untuk menakut-nakutkan atau mematikan musuh politik, perkara sama yang menyebabkan ISA menjadi begitu konstroversi sebelum ini”.
“Sebagai contoh SOSMA digunakan untuk menahan pemimpin perhimpunan BERSIH yang didalangi parti pembangkang pada tahun 2016
Jadi, persoalannya bukan isi serta kandungan akta itu, tetapi penguatkuasaannya mengikut terjemahan pihak yang berkuasa iaitu kerajaan”, tambah beliau.
Muhammad Lukman Al Hakim turut menggesa kerajaan untuk menerangkan definisi ‘ancaman terhadap keselamatan negara’ bagi menjelaskan aplikasinya serta mengelakkan penyalahgunaan akta ini bagi tujuan yang salah
Terkini, pihak pembangkang terutama parti DAP yang sangat lantang menentang ISA dan SOSMA telah menjadi sebahagian kerajaan, adakah mereka akan berusaha memansuhkan SOSMA, menambahbaik akta ini bagi tujuan asalnya atau menyalahgunakannya bagi tujuan politik sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu?