Rakyat Malaysia masih tidak terlepas daripada membicarakan soal Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dan antara topik yang menarik dibincangkan ialah mengenai pengkelasan pendapatan isi rumah.
Mereka berpandangan pengekelasan pendapatan isi rumah yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah tidak adil dan mempertikaikan tindakan kerajaan yang menilai kemampuan ataupun ‘kekayaan’ mereka berdasarkan pendapatan kasar sahaja bukannya pendapatan bersih.
Pendapatan bersih ini merujuk kepada jumlah wang yang diperoleh oleh sesebuah individu selepas menolak semua kos, perbelanjaan dan cukai yang berkaitan.
Maka rakyat berpandangan pendapatan isi rumah ini perlu dikira menggunakan pendapatan bersih selepas ditolak segala kos tanggungan mereka.
Hal ini tidak ditambah lagi dengan pengenalan gelaran baharu iaitu golongan T15 yang berpendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 sebulan dan kumpulan ini digelar sebagai golongan mahakaya.
Apa Itu Pendapatan Isi Rumah?
Pendapatan isi rumah merujuk kepada jumlah pendapatan keseluruhan yang diperoleh oleh semua ahli dalam satu isi rumah dalam tempoh tertentu biasanya setahun atau sebulan.
Hal ini termasuk semua bentuk pendapatan yang diterima oleh ahli keluarga atau individu yang tinggal bersama tanpa mengira sumbernya seperti pendapatan gaji, pendapatan perniagaan, pendapatan pelaburan, pendapatan daripada faedah sosial, sewa dan royalti dan pendapatan lain.
Kerajaan telah mengkategorikan pendapatan isi rumah kepada pelbagai peringkat untuk mengukur status ekonomi dan kesejahteraan masyarakat seperti B40, M40 dan T20.
Isi rumah berpendapatan rendah (B40) merujuk kepada 40% daripada isi rumah di bahagian bawah dalam sesebuah negara dari segi pendapatan.
Di Malaysia, ia sering digunakan untuk menggambarkan golongan yang bependapatan kurang daripada purata nasional.
Kumpulan kedua ialah isi rumah berpendapatan sederhana (M40) yang merujuk kepada 40% golongan pertengahan dari segi pendapatan.
Kumpulan ketiga ialah isi rumah berpendapatan tinggi (T20) yang merujuk kepada 20% isi rumah dengan pendapatan tertinggi dalam sesebuah negara.
Pengkelasan Pendapatan Wajar Disemak Semula
Ramai pihak berpendapat pengkelasan pendapatan isi rumah ini tidak adil dan tidak menggambarkan realiti ataupun keadaan sebenar yang ditanggung oleh mereka.
Jika dilihat kepada jadual kumpulan pendapatan isi rumah, golongan yang berpendapatan RM13,000 lebih sudah dikategorikan sebagai golongan berpendapatan tinggi dan ia terpakai untuk semua negeri di Malaysia.
Sedangkan tidak semua golongan yang berpendapatan sedemikian adalah begitu kaya kerana ia dikira berdasarkan pendapatan isi rumah yang bermakna jika pasangan di dalam sesebuah keluarga memiliki pendapatan RM7,000 dan RM6,000 sudah dikategorikan sebagai kaya.
Kerajaan sepatutnya melihat tanggungan yang ditanggung oleh keluarga tersebut kerana ini tidak bermakna kumpulan yang berpendapatan RM10,000 ke atas betul-betul kaya.
Ada yang perlu menanggung anak yang ramai dan mungkin kebanyakan daripada mereka adalah kumpulan yang bekerja dengan kerajaan dengan jawatan yang sederhana tinggi.
Bukan sahaja meletakkan pengkelasan ini secara tidak adil malahan menuduh dengan tuduhan melulu dengan mengatakan kumpulan “mahakaya” ini sengaja mengambil kesempatan dan hak golongan yang berpendapatan rendah.
Dakwaan ini tidak dinafikan ada benarnya kerana memang wujud golongan kaya yang bertindak sedemikian namun tidak wajar dipukul rata semua pihak yang berpendapatan tinggi sebegitu.
Polisi yang dikenakan oleh kerajaan terhadap kumpulan yang berpendapatan tinggi seperti menekan dan menunjukkan seakan salah untuk menjadi kaya di Malaysia.
Maka sewajarnya kerajaan menyemak semula pengkelasan ini bagi mengelakkan rakyat merasa terbeban.
Mungkin sesuai untuk kerajaan menguatkuasakan pengkelasan pendapatan ini mengikut negeri kerana keadaan ekonomi di setiap negeri itu berbeza.
B40 di Terengganu mungkin tidak sama dengan B40 di Selangor. M40 di Kelantan mungkin tidak sama dengan M40 di Perak dan T20 di Kuala Lumpur mungkin tidak sama dengan T20 di Kedah.
Bukan itu sahaja malahan pendapatan selepas ditolak oleh cukai dan tanggungan yang lain wajar diambil kira sebelum mengkelaskan mereka mengikut kategori tertentu.