Pembangunan Pusat Data Di Johor: Bawa Manfaat Untuk Malaysia Atau Singapura?

pusat data

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa Johor berjaya menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas dengan Sedenak Tech Park (STeP) sahaja mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW). Projek pusat data ini mencatatkan nilai pelaburan di Johor sahaja pada tahun 2023 mencatat RM70 bilion yang mana mengatasi Selangor yang mencatat RM60 bilion.

Namun begitu, pembangunan pusat data ini menimbulkan persoalan sama ada ia membawa manfaat pembangunan kepada Singapura ataupun Malaysia. Hal ini demikian kerana terdapat laporan yang mengatakan Singapura telah menghentikan sementara pembinaan pusat datanya dari tahun 2019 hingga 2023 akibat kekurangan tanah dan harga tanah serta kos pembinaan yang lebih murah di Johor.

Permintaan pusat data oleh syarikat asing telah mempengaruhi trend peningkatan aktiviti jual beli tanah di Johor. Trend ini dipandu oleh syarikat-syarikat hartanah seperti Crescendo, UEM Sunrise, EcoWorld, dan Paragon Globe Bhd. Crescendo mencatatkan jualan tanah bernilai RM792 juta dalam 7 bulan, termasuk penjualan tanah bernilai RM447.64 juta kepada Microsoft Payment (Malaysia) dan RM117 juta kepada ST Telemedia Global Data Centres pada November 2023. UEM Sunrise juga menjual dua bidang tanah di Iskandar Puteri kepada syarikat pusat data, yang mungkin melibatkan Singapore Telecommunications Ltd.

Pada masa yang sama, Microsoft Payment memperoleh tanah 123 ekar di Kulai daripada EcoWorld bernilai RM402.3 juta, dan Paragon Globe Bhd menjual tanah 48 ekar kepada Bridge Data Centres Malaysia IV Sdn Bhd. Hal ini menyebabkan harga tanah di Johor semakin mahal akibat trend pembelian tanah daripada luar Malaysia terutamanya Singapura makin meningkat.

Selain itu, pembukaan pusat data di Johor ini juga akan memberikan peluang kepada syarikat multinasional asing terutamanya dari Singapura untuk mengambil manfaat sumber domestik negara. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman mengakui bekalan air dan elektrik menjadi masalah utama buat negeri itu. Menurutnya, meskipun menggalakkan pelaburan adalah penting, ia tidak sepatutnya mengorbankan keperluan tempatan dan domestik rakyat.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga 2020, meskipun industri hanya mewakili 0.3 peratus daripada bilangan pengguna elektrik di Malaysia berbanding domestik pada 82.1 peratus, kadar penggunaan elektrik oleh industri mencatatkan peratusan terbesar iaitu 44.9 peratus. Pada masa sama, Johor mencatatkan penggunaan elektrik ketiga tertinggi (18,361 GWj) di belakang Sarawak (27,779 GWj) dan Selangor (28,772 GWj)[15].

Setakat ini pusat data asing yang telah dibina dan bakal dibina melibatkan syarikat seperti DS Global Data, Bridge Data Centers (BDC), NextDC, Yondr, Vantage Data Centers, Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google, ByteDance, Alibaba Cloud dan Equinix.

Jelas dapat dilihat di sini bahawa Johor dijadikan penyelesaian yang strategik bagi Singapura yang menghadapi kekurangan tanah dan kos operasi yang tinggi. Ini memerlukan perhatian khusus oleh pihak berkuasa Malaysia untuk memastikan bahawa faedah ekonomi dan sumber tempatan dapat dimanfaatkan secara adil dan berimbang untuk kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

Perlu juga ada langkah-langkah untuk menangani isu bekalan air dan elektrik di Johor bagi memastikan bahawa keperluan domestik tidak terjejas oleh kepesatan pembangunan pusat data.

SUMBER – FOKUS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
bangsa Malaysia

Identiti Penting Untuk Bangsa Teras Di Malaysia

Next Post
rusuhan bangladesh

Rusuhan Bangladesh: Pelajar Malaysia Dakwa Wisma Putra Lambat Bertindak

Related Posts