Setelah mendapat kecaman yang begitu hebat daripada rakyat akhirnya kerajaan mengakui bahawa punca kepada harga barang naik adalah disebabkan oleh cukai naik.
Hal ini diakui oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying di Dewan Rakyat pada hari ini bahawa antara sektor yang akan terkesan disebabkan oleh kenaikan harga barang ini ialah sektor bahan api dan logistik.
Kerajaan sebelum ini telah meningkatkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan daripada 6% kepada 8% bermula 1 Mac tahun ini.
Selain daripada kenaikan cukai, kerajaan juga memperkenalkan cukai baharu seperti cukai jualan ke atas barangan bukan keperluan asas terutamanya barangan premium yang diimport seperti salmon dan avokado yang akan meningkat.
Bukan itu sahaja malahan cukai perkhidmatan akan diluaskan merangkumi perkhidmatan baharu seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi dan transaksi perniagaan ke perniagaan mulai 1 Mei 2025.
Tambah beliau, kenaikan harga barang ini tidak akan menyebabkan rakyat begitu terkesan terutamanya yang berpendapatan rendah kerana kerajaan telah memperkenalkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
Namun beliau perlu sedar bahawa kenaikan gaji minimum juga menjadi punca kepada kenaikan harga barang disebabkan peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh pihak majikan.
Akhirnya pihak majikan ataupun peniaga akan memindahkan beban peningkatan kos operasi kepada pengguna dengan menaikkan harga jualan.
Harga Barang Naik Tidak Boleh Dielakkan Maka Kerajaan Wajib Perluaskan Bantuan Kewangan Kepada Rakyat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ada mengakui bahawa cukai GST merupakan cukai yang terbaik dan telus untuk digunakan di Malaysia namun tidak berhajat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.
Beliau hanya memberi jaminan kerajaan akan melaksanakan GST apabila rakyat sudah boleh mendapat gaji minimum sebanyak RM3,000.
Walaubagaimanapun, idea untuk memperkenalkan cukai GST bagi menggantikan cukai SST merupakan idea yang tidak sesuai untuk dibincangkan dalam tempoh sekarang kerana rakyat sudah pun terbeban dengan pengenalan cukai baharu yang ada sekarang.
Cukai GST sememangnya cukai yang telus jika dibandingkan dengan cukai SST namun faktanya ia tetap tidak akan menyebabkan kos sara hidup berkurang.
Apa yang kerajaan boleh lakukan sekarang untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah ialah memperkuatkan program bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pembentangan Belanjawan 2025 menyaksikan kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion untuk STR dan SARA yang menyakiskan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.
Selain daripada laungan cukai dinaikkan untuk membayar hutang, eloklah kerajaan menanam naratif bahawa cukai ini dinaikkan untuk memberi pulangan dalam bentuk bantuan kepada rakyat tidak mengira status pendapatan.