Akta Parlimen Berpenggal bakal jadikan kerajaan, PM tak kompeten

BANGI – Cadangan menggubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap bagi mengekalkan kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini. 

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, Akta Antilompat Parti yang sedia ada sudah cukup untuk menghalang sesebuah kerajaan daripada digulingkan oleh Ahli Parlimen yang berpaling tadah.

“Buktinya, meskipun wujud dakwaan untuk menjatuhkan kerajaan misalnya Langkah Dubai, ia tidak pernah menjadi kenyataan.

“Ini kerana mekanisme Akta Anti Lompat dan Akujanji yang diadakan dalam parti-parti politik boleh mengawal aktiviti menukar sokongan oleh MP dapat mencegahnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia itu meluahkan kebimbangan jika Akta Penggal Tetap Parlimen direalisasikan, kerajaan mungkin menjadi tidak kompeten. 

Beliau khuatir seseorang Perdana Menteri itu akan berasa terlebih selamat dan tidak terancam, sekali gus menjadikan beliau kurang berusaha untuk bekerja dengan lebih keras.

Selain itu, katanya, pembangkang yang memainkan peranan semak dan imbang tidak akan lebih berkesan seperti sekarang berbanding selepas akta itu diwujudkan.

“Kemungkinan akta ini akan menimbulkan persepsi kerajaan akan lebih bersifat autokratik kerana kerajaannya terjamin selamat selama 5 tahun,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Ia susulan cadangan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan penggubalan rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah itu berupaya menjamin kestabilan negara berikutan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

SUMBER: Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

politik Malaysia Penuh Dengan Ahli Politik Dinosaur

Next Post

Wakafkan Tanah Rizab Melayu Agar tidak terjual

Related Posts