Hilang sudah prinsip DAP dalam memperjuangkan politik yang bersih apabila sanggup menerima Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Perhimpunan Tahunan DAP yang baru sahaja berlangsung baru-baru ini. Dahulu bukan main kuatnya suara untuk menangkap beliau atas gejala rasuah dan menggesa rakyat Malaysia untuk menolak UMNO dengan dakwaan satu undi untuk UMNO bermakna satu undi untuk Zahid.
Kini lain pula skripnya apabila beliau menerima tepukan yang gemuruh sewaktu hadir ke Perhimpunan Tahunan DAP tersebut. Ini dibuktikan dengan kenyataan beliau yang terharu dengan sambutan daripada ahli DAP yang digambarkannya sungguh ikhlas. Nampaknya beliau berjaya disucikan oleh DAP dengan melupakan terus kes pendakwaan beliau dahulu itu.
Dahulu sewaktu perseteruan antara UMNO dan DAP memuncak, DAP telah menggelar parti rakan UMNO di dalam Barisan Nasional (BN) sebagai ‘anjing suruhan’ ataupun ‘lapdogs’ kerana hanya mematuhi segala perbuatan yang dibuat oleh UMNO tanpa bantahan tidak kira salah atau betul. Namun gelaran itu sesuai juga dianugerahkan kepada DAP setelah melihat penyucian yang dilakukan oleh mereka terhadap individu yang mereka caci dahulu.
DAP dahulunya nampak gah kononnya kuat berpegang kepada politik bersih yang ingin membasmi rasuah dan melawan ahli politik yang bersalah namun kini mula menjadi ‘lapdogs’ kepada ahli politik yang terlepas daripada pendakwaan rasuah dengan cara yang penuh kontroversi.
Gesaan DAP untuk menangkap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke penjara tidak tercapai malahan membentangkan karpet merah ke Putrajaya malahan Perhimpunan Agung DAP juga.
Impian untuk kita mendapatkan ahli politik yang tegas dalam melawan rasuah masih tiada sinar peluangnya namun BERJASA tetap optimis untuk membawa harapan baru dalam arena politik Malaysia untuk mengangkat pemimpin yang tegas dan adil.
BERJASA sentiasa konsisten dengan pendiriannya untuk mengangkat pemimpin yang bebas daripada tuduhan rasuah dan salah guna kuasa bagi membolehkan negara ini mampu menjadi Malaysia yang unggul suatu hari nanti.