Semua orang Islam sudah sedar dan maklum tentang kepentingan makanan halal yang kini boleh dikatakan sudah mudah untuk didapatkan di Malaysia.
Polemik mengenai halal di Malaysia telah muncul apabila seorang ahli politik cuba menjadikan ia isu sehinggakan memperlekehkan usaha JAKIM untuk memperkasakan halal di Malaysia.
Kenyataan ini dilihat langsung tidak bertanggujawab kerana isu halal amat sensitif dalam kalangan orang Islam yang mementingkan tentang kebersihan sesuatu makanan yang mereka ingin beli dan makan.
Halal adalah istilah Arab yang bermaksud “dibenarkan” atau “halal” dari segi syariah (undang-undang Islam).
Dalam konteks kehidupan sehari-hari, halal merujuk kepada apa sahaja yang dibenarkan oleh ajaran Islam termaksud dalam aspek makanan, minuman, gaya hidup, perbankan dan banyak lagi.
Hal ini bermaksud halal sebenarnya tidak termaktub kepada makanan sahaja malahan ia lebih besar dan luas daripada itu lagi.
Namun begitu, terma halal itu sendiri amat dekat dengan makanan dan pastinya orang ramai termasuk golongan bukan Islam di Malaysia ingin tahu mengapakah halal itu amat penting untuk dititikberatkan oleh orang Islam.
Mencari Yang Halal Itu Fardhu
Islam amat menekankan untuk penganutnya mencari makanan yang halal kerana ia adalah satu kewajiban yang mesti diikuti oleh semua pihak yang beragama Islam.
Hal ini boleh dikatakan bahawa mencari yang halal itu fardhu dan tidak boleh diabaikan oleh umat Islam.
Dalam Islam, mengamalkan gaya hidup halal adalah sebahagian daripada tanggungjawab seseorang Muslim untuk mematuhi perintah Allah SWT.
Al-Quran dan hadis memberikan panduan jelas mengenai apa yang halal (dibenarkan) dan haram (dilarang).
Makanan halal, misalnya, merujuk kepada makanan yang diperoleh dan disediakan mengikut syariat Islam seperti daging yang disembelih dengan cara yang sesuai.
Selain itu, konsep halal bukan sahaja berkaitan dengan peraturan agama tetapi juga memberi perhatian kepada kebersihan dan kesihatan.
Makanan halal mesti diproses dan disediakan dalam keadaan yang bersih dan higienis seperti dalam penyembelihan haiwan halal, darah yang dianggap sebagai medium untuk bakteria dan kotoran dikeluarkan sepenuhnya maka ini menjamin makanan yang lebih sihat dan selamat untuk dimakan.
Beberapa kajian mendapati bahawa daging yang disembelih secara halal lebih bersih kerana proses ini menyingkirkan toksin dan kotoran dari haiwan maka ia selamat untuk dimakan dan baik untuk kesihatan.
Mengamalkan gaya hidup halal memberikan ketenangan jiwa kepada Muslim kerana mereka tahu bahawa mereka mematuhi ajaran agama mereka dalam setiap aspek kehidupan termasuk memastikan bahawa apa yang mereka makan, gunakan, dan amalkan adalah selaras dengan perintah agama.
Bagi individu yang beragama Islam, halal adalah lebih daripada sekadar pematuhan luaran; ia adalah sebahagian daripada kepercayaan dan hubungan spiritual dengan Tuhan.
Kepentingan halal bagi umat Islam bukan hanya terhad kepada makanan tetapi mencakup keseluruhan gaya hidup yang melibatkan kepatuhan kepada agama, etika, kebersihan, dan kesihatan.
Produk Dan Makanan Halal Penting Untuk Industri Negara
Dengan perkembangan industri halal yang pesat, ia juga mempunyai impak ekonomi yang besar dan menjadikan halal bukan hanya relevan untuk Muslim tetapi juga diterima secara global sebagai tanda standard tinggi dalam pelbagai sektor.
Industri halal di Malaysia semakin berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara yang bukan sahaja merangkumi industri makanan malahan kosmetik, farmaseutikal, perbankan, dan pelancongan juga penting dalam industri ini.
Malaysia diiktiraf sebagai hab halal global kerana mempunyai infrastruktur dan sistem pensijilan halal yang mantap.
JAKIM adalah agensi yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan sijil halal yang diiktiraf di seluruh dunia dan sijil halal Malaysia diiktiraf oleh lebih daripada 40 negara yang memberikan keyakinan kepada pengguna dan memudahkan eksport produk halal Malaysia ke luar negara.
Oleh hal yang demikian, hal ini jelas menunjukkan bahawa makanan mahupun produk halal bukan sahaja penting serta membawa manfaat kepada orang Islam malahan turut memberikan impak yang besar kepada ekonomi negara.
Malaysia mampu menerajui industri halal dunia sehingga menjadi rujukan antarabangsa maka pelaksanaan halal di Malaysia secara menyeluruh tidak sepatutnya menjadi isu.