Apakah Perang Dunia Ketiga Akan Berlaku?

Sejarah konflik dunia telah memperlihatkan telah berlakunya Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua namun ada beberapa sentimen yang telah dimainkan bahawa mungkin Perang Dunia Ketiga bakal berlaku.

Kemungkinan tercetusnya Perang Dunia Ketiga adalah satu persoalan yang sering diperdebatkan terutamanya dengan ketegangan geopolitik yang terus meningkat di beberapa bahagian dunia.

Jeneral Sir Roly Walker yang merupakan pegawai tentera berpangkat tinggi di British pernah memberikan amaran bahawa Britain perlu bersiap sedia untuk menghadapi peperangan dalam masa tiga tahun mulai tahun ini kerana ancaman yang semakin meningkat daripada sekumpulan negara yang beliau sebut sebagai “paksi pergolakan”.

Paksi ini terdiri daripada Rusia, China, Iran dan Korea Utara yang merupakan negara-negara dilihat sebagai mencabar kestabilan global dan berpotensi mencetuskan konflik.

The Guardian juga menambah dengan mengatakan “based on China’s hostility towards Taiwan, Iran’s nuclear ambitions and Russia’s militarisation as demonstrated by its invasion of Ukraine“.

Dapatan yang diperoleh ini semakin menampakkan bibit-bibit bakal tercetusnya Perang Dunia Ketiga namun tiada tahun yang tepat untuk dijangka bilakah ia akan berlaku.

Dalam sisi pandangan yang lain pula, walaupun tiada jaminan bahawa ia akan berlaku namun ramai pakar membincangkan senario yang mungkin menyebabkan perang berskala global ini.

Apakah Tanda-Tanda Bakal Terjadinya Perang Dunia Ketiga?

Sebenarnya tiada tanda-tanda yang jelas menunjukkan bilakah Perang Dunia Ketiga bakal berlaku namun sangkaan yang kuat dipetik oleh orang ramai ialah survei yang dijalankan oleh mendapat maklum balas lebih daripada separuh rakyat British percaya Perang Dunia Ketiga bakal berlaku dalam tempoh 5 tahun atau 10 tahun akan datang.

Survei ini telah dibuat pada tahun 2024 maka hal ini bermakna mereka berpendapat perang besar ini akan berlaku pada tahun 2029 ataupun 2034.

Jika diperhatikan beberapa senario konflik geopolitik yang berlaku sekarang, sudah muncul dengan jelas tanda-tanda yang memungkinkan Perang Dunia Ketiga akan berlaku.

Isu ketegangan di Laut China Selatan yang melibatkan China dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei dikhuatiri menjadi semakin besar ditambah pula masing-masing terlibat dengan perlumbaan senjata.

Laut China Selatan ini merupakan laluan perdagangan maritim yang penting dan China menuntut sebahagian besar kawasan itu melalui apa yang dikenali sebagai “Nine-Dash Line“.

Tuntutan yang dibuat oleh China ini tidak dipersetujui oleh majoriti negara Asia Tenggara dan China bertindak balas dengan menceroboh sempadan laut mereka melalui China Coast Guard.

Keadaan ini menimbulkan pertikaian yang hebat antara China dan negara-negara yang menyokong kebebasan pelayaran seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan sekutu mereka.

Jika konflik ini semakin memuncak, ia berpotensi menarik kuasa besar dunia ke dalam kancah peperangan dan tidak mustahil Perang Dunia Ketiga terjadi bertitik-tolak daripada ketegangan ini.

Selain itu, konflik Rusia dan Ukraine yang terjadi pada 2022 telah membangkitkan kebimbangan tentang kemungkinan terjadinya konflik yang lebih besar.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana konflik ini bertambah parah apabila pihak NATO (The North Atlantic Treaty Organization) telah mula masuk campur dalam konflik dengan membela Ukraine untuk menyerang Rusia.

Tindakan masuk campur NATO ini seakan menambah minyak di dalam api dan tidak mustahil keadaan ini akan menjurus kepada tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Perlumbaan senjata nuklear dilihat masih menjadi ancaman terbesar kepada keamanan dunia di mana negara-negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, India, Pakistan, Iran dan Korea Utara semuanya memiliki senjata nuklear.

Ketegangan antara mana-mana negara ini boleh mencetuskan ancaman global, di mana konflik bersenjata konvensional berisiko berubah menjadi perang nuklear.

Walaupun ketegangan global yang wujud hari ini memberi bayangan kepada risiko Perang Dunia Ketiga, banyak usaha diplomatik dan perjanjian antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear, bertujuan untuk mengelakkan peperangan besar seperti ini daripada berlaku.

Namun, dunia tetap berhadapan dengan ancaman konflik yang boleh tercetus sekiranya krisis-krisis ini tidak diuruskan dengan berhati-hati.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kepentingan Makanan Halal: Mengapa Halal Itu Penting?

Next Post
kebebasan bersuara di malaysia

Kebebasan Bersuara Di Malaysia: Mimpi Atau Realiti?

Related Posts