KUALA LUMPUR – Pergeseran yang berlaku antara parti MCA dan DAP menjadi lebih panas apabila Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengesyorkan MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan memperbaharui hubungan dengan BERSATU dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkata lebih baik MCA berbuat sedemikian kerana beberapa tindakan MCA sebelum ini didakwa dilihat tidak berprinsip sehingga menimbulkan persepsi orang ramai bahawa ‘MCA agak sesat.’
“‘MCA agak sesat’ adalah persepsi orang ramai terhadap MCA. Ia juga merupakan realiti dan dilema yang dihadapi oleh MCA. Oleh itu, (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong (Presiden MCA) memang tidak perlu berdalih.
“MCA telah kalah teruk dalam empat pilihan raya umum (PRU) berturut-turut sejak 2008”.
“Ini menunjukkan parti itu telah kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina, dan ia hanya bertahan dengan bergantung pada penyokong UMNO sahaja,” dakwanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan Ka Siong menyelar kenyataan Kok yang mendakwa MCA sebagai ‘sesat’.
Ka Siong juga dipetik menegaskan bahawa MCA akan terus bersuara dengan kritikan yang membina terhadap kerajaan.
Seterusnya, Kok mendakwa bahawa MCA sebelum ini pernah kuat mengecam DAP kerana bekerjasama dengan PAS, bawah Pakatan Rakyat di peringkat negeri.
“Namun pada 2020, MCA bertukar pendirian politik dan ‘menampar mulutnya sendiri’ dengan bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan. Bukankah ini kehilangan arah dan ‘sesat’?” dakwanya lagi.
SUMBER: Berita Harian