Bangi – Semalam Malaysiakini melaporkan sebahagian daripada pembeli rumah Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral menyatakan ketidakpuashatian akan pemaju seakan gagal untuk menyiapkan rumah mereka sebelum Aidilfitri tahun ini.
Mengulas isu ini, Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan berpendapat pemaju perlu mengambil tindakan yang segera bagi menyiapkan rumah yang telah dibeli oleh rakyat.
Beliau berpendapat PR1MA adalah salah satu inisiatif kerajaan yang baik bagi menangani isu rumah untuk rakyat terutama kelas menengah dan bawahan tetapi terdapat banyak isu pengurusan yang berlaku.
“Setakat tahun 2022, lebih 20 projek PR1MA dikategorikan projek sakit daripada lebih 60 projek sedia ada. Ini menunjukkan peratusan 30% hingga 40% projek PR1MA berhadapan dengan pelbagai isu dan ia menekan para pembeli yang sebahagiannya telah mula membayar pinjaman bank tetapi rumah belum tersedia untuk diduduki”, tegas beliau.
Tambah beliau, PR1MA merupakan projek yang baik untuk rakyat dengan asas untuk mengimbangi harga pasaran hartanah, mengurangkan manipulasi di dalam pasaran tanah dan membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa terutama di bandar-bandar besar.
Namun, sehingga sekarang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKPT) belum menyatakan tindakan lanjut untuk menyelesaikan isu ini malahan ingin mengimport konsep House & Development Board (HDB) dari Singapura ke Malaysia yang mungkin tidak sesuai dari beberapa aspek tertentu.
Beliau berharap KPKT wajar untuk menyediakan perancangan jangka pendek dan panjang untuk PR1MA bagi menjadikan ia sebagai salah satu solusi kepada isu perumahan rakyat yang berlarutan.