Kuala Lumpur – Setelah dikecam dan didesak banyak pihak akhirnya Nga Kor Ming, Menteri KPKT beralah dan mengeluarkan kenyataan bahawa Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukanlah keutamaan buat rakyat masa ini
Naib Presiden BERJASA, Ir. Lukman Al-Hakim menyatakan bahawa “Nga Kor Ming masih tidak menyedari bahawa majoriti rakyat Malaysia menolak penuh pelaksanaan Pilihanraya PBT yang membazir, tidak produktif serta bakal menjarakkan lagi jurang antara kaum yang telah sedia ada melebar di negara kita”
Beliau turut menegaskan bahawa Pilihanraya PBT tidak harus dikembalikan buat selama-lamanya. “Nga Kor Ming sepatutnya memberikan fokus untuk menyelesaikan masalah perumahan sedia ada di Malaysia. Sehingga hari ini Malaysia masih dilanda pelbagai isu perumahan dan pembandaran.”
“Kajian pada tahun 2022 menunjukkan lebih 50% warga negara Malaysia tidak mampu dan tidak memiliki rumah sendiri. Dalam masa yang sama syarikat konglomerat perumahan terus membina rumah-rumah mewah sehingga berlaku lambakan dan turut dijual kepada bukan warganegara” tambah beliau dalam kenyataan hari ini.
Antara isu perumahan yang masih sedang berlarutan ialah harga rumah yang terlalu mahal, kualiti pembinaan yang rendah, isu projek perumahan terbengkalai, masalah setinggan, Isu harga bahan asas pembinaan, kesukaran mendapatkan tanah bagi pembinaan kawasan perumahan serta banyak lagi.