BANGI – Menghina agama Islam dan kalimah Allah adalah satu perbuatan yang biadab dan tidak boleh dimaafkan kecuali melalui hukuman sahaja. Perbuatan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tidak sepatutnya seperti di dalam isu stokin kalimah Allah merupakan satu kesalahan yang serius dan permohonan maaf sahaja tidak cukup kerana ia perlu dilunaskan dengan hukuman daripada pemerintah. Pihak yang memainkan isu stokin kalimah Allah dilihat galak memprovokasi di media sosial kerana yakin tiada hukuman akan dikenakan kepada mereka.
Demikian tegas Annuar Salleh, Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA yang merujuk kepada permohonan maaf yang dibuat oleh pengurusan tertinggi pasar raya KK Mart di hadapan wartawan sewaktu sidang media. Bukan itu sahaja seorang individu dengan akaun Facebooknya bernama Chiok Wai Loong yang menambah minyak di dalam api juga membuat tindakan yang sama setelah dicekup oleh orang ramai.
Hal ini menampakkan perkataan “maaf” dan tindakan meminta maaf itu amat mudah dilakukan kerana bukan sahaja sekali berlaku isu sebegini malahan berkali-kali. Tindakan meminta maaf ini dilihat hanya sekadar ingin melepaskan diri sahaja.
“Dalam sejarah Islam Nabi Muhammad SAW pernah memerangi kaum Yahudi dan mengusir mereka daripada Madinah apabila golongan mereka mempertahankan seorang Yahudi yang menghina seorang muslimah dipasar dengan menyelak auratnya”.
“Menghina Islam dan Allah adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia lebih besar daripada menghina Yang Dipertuan Agong. Golongan yang menghina Islam dan Allah SWT dalam sembuah negara Islam perlu dilucutkan kewarganegaraan mereka kerana kesalahan ini lebih besar daripada menghina Agong”, tegas beliau.
Tambah beliau, isu ini menampakkan bahawa semakin kuat wujudnya sentimen Islamofobia di sebuah negara yang majoritinya Muslim sedangkan sentimen ini hanya menyerang komuniti Islam yang minoriti di negara-negara Barat sebelum ini.