Georgetown: Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) menyasarkan empat juta pelanggan Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) menjelang penghujung 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Praba Sangarajoo berkata apabila semakin ramai orang menghargai kemudahan RFID akan wujud pertumbuhan kukuh dalam penerimaan dan penggunaannya.
“Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira tiga juta pelanggan RFID, kami menyasarkan tambahan satu juta pengguna menjelang akhir tahun depan, yang selaras dengan objektif kami untuk menyediakan kaedah pembayaran tol yang lebih lancar serta mudah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Selain melicinkan pembayaran untuk tol, mobiliti RFID juga boleh membolehkan pembayaran bahan api tanpa sentuh.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melancarkan kempen Touch ‘n Go “Walao Eh Just In Penang” bagi menggalakkan pilihan pembayaran tanpa tunai dan lancar untuk pengalaman mobiliti bersepadu meliputi tol, transit termasuk tempat letak kereta di Pulau Pinang.
Praba berkata kempen itu bertujuan memperkenalkan penyelesaian mobiliti yang lancar kepada rakyat Pulau Pinang melalui Touch ‘n Go’s RFID dan kad Touch’ n Go yang dipertingkatkan.
Pulau Pinang mempunyai objektif yang jelas untuk membina infrastruktur digital yang berdaya tahan menjelang 2030.
“Semasa kempen itu, van mudah alih yang dipasang khas akan diletakkan di lokasi utama dan rakyat Pulau Pinang akan dapat menikmati tawaran kempen istimewa pada tag RFID serta membeli set himpunan Touch ‘n Go eksklusif yang terdiri daripada satu tag RFID dan kad Touch ‘n Go yang dipertingkatkan,” katanya.
Bagaimanapun, Chow berkata usaha pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran seperti Touch ‘n Go RFID, adalah digalakkan kerana ia mudah, cekap dan selamat.
“Dengan Touch ‘n Go memulakan perjalanan ini bersama kami, kami yakin dengan kemampuan untuk mencapai matlamat negeri iaitu 100 peratus tanpa tunai menjelang 2030,” katanya.
-Awani