Shah Alam: Susulan kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedia berunding dengan China melibatkan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) milik Malaysia, ia lantas mendapat bantahan daripada BERJASA.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Shariff berkata, ia seolah-olah Perdana Menteri terlalu takut lemah apabila berhadapan dengan China berkenaan isu pencerobohan China di Laut Cina Selatan.
Kenyataannya untuk memberi ruang dan rundingan di atas sempadan EEZ negara daripada seorang Perdana Menteri Malaysia amatlah memalukan dan membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara.
Perdana Menteri sendiri seperti tidak mengiktiraf sempadan negara yang diiktiraf dunia antarabangsa.
“Kita perlu jelas bahawa Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 menyatakan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai”.
“Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut, yang juga meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut serta ruang udara di atasnya”, tegas beliau.
Faktanya, negara pesisir boleh menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ), iaitu kawasan air laut sehingga ke 200 batu nautika jauhnya diukur dari garis dasar negara pesisir melangkaui 12 batu nautika dan kawasan yang dituntut China secara biadap, adalah jelas di bawah garis sempadan negara.
Seorang pemimpin wajib mengetahui perkara asas ini dan paling minima mengetahui di mana kedudukan sempadan negara yang wajib dipertahankan dengan segala sumber kekuatan yang ada tetapi kenyataan Perdana Menteri adalah sebaliknya kerana mencerminkan kelemahan gaya pentadbiran beliau yang begitu ketara.
Kerajaan perlu memperbetulkan kenyataan, dan wajib tegas untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjaga sempadan negara dari sebarang pencerobohan yang biadap terutamanya daripada negara China.
Sebelum ini, telah tular kenyataan Perdana Menteri beberapa hari yang lalu yang mengatakan bahawa Malaysia sedia untuk berunding dengan China jika melibatkan pertembungan di kawasan yang bertindih sedangkan kawasan yang dimaksudkan itu adalah kawasan EEZ milik Malaysia secara sepenuhnya.