Shah Alam – Tindakan kerajaan yang menarik kembali rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian pada Isnin amat mengejutkan dan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat penjelasan yang sepatutnya kepada orang ramai.
Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mengesahkannya, kementerian dan kerajaan memfailkan notis penamatan itu pada 18 April.
Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri berhubung membuat keputusan untuk menarik balik rayuan tersebut namun tindakan itu tidak cukup untuk membendung keresahan di kalangan orang Islam di negara ini.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan ketika dihubungi berkata tindakan penarikan rayuan melibatkan isu kalimah Allah ini amat sensitif di Malaysia memandangkan majoriti rakyatnya beragama Islam.
“Semestinya penarikan rayuan isu kalimah Allah ini adalah sesuatu yang mengejutkan. Kerajaan perlu menjelaskan dengan terperinci dan fakta yang kukuh mengapa penarikan rayuan itu dibuat”.
“Apa justifikasinya? Adakah ia dibuat atas desakan orang lain? Saya sedia ambil maklum nota kepada Jemaah Menteri telah diberikan namun perlu juga dimaklumkan secara jelas kepada rakyat terutamanya yang beragama Islam”, tegas beliau.
Tambah beliau, isu ini perlu dipandang secara serius kerana ia melibatkan soal akidah dan kekeliruan penggunaan nama Allah akan menjejaskan akidah umat Islam.
“Kalimah Allah tidak sesekali boleh digunakan utk menyamakan Jesus dan Allah. Ini kerana Jesus hanya Nabi utusan Allah, sedangkan Allah adalah tuhan kepada Nabi Isa. Nampak serupa tetapi ia jauh berbeza sama sekali”.
“Jika isu ini tidak dibendung daripada awal, saya khuatir ia akan menjurus kepada lebih banyak lagi isu penyalahgunaan kalimah Allah terhadap perkara yang lain”, ujar beliau.
Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.