Kemerdekaan yang dikecapi oleh Tanah Melayu ataupun Malaya tidak akan berlaku jika peristiwa penentangan Malayan Union oleh orang Melayu tidak berlaku.
Pembentukan Malayan Union dicadangkan oleh kerajaan British selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang dilihat sebagai satu usaha daripada British untuk menyusun semula pentadbiran Tanah Melayu setelah kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
Tokoh utama yang mencadangkan dan merangka Malayan Union ialah Sir Harold MacMichael yang merupakan seorang pegawai tinggi British yang dilantik oleh kerajaan British dan juga mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan penjajahan British, termasuk dalam urusan pentadbiran di Palestin dan Timur Tengah sebelum dilantik ke Tanah Melayu.
Sir Harold MacMichael menggunakan pendekatan yang provokasi dengan mengancam untuk untuk menarik balik pengiktirafan British terhadap kedaulatan Sultan-sultan jika mereka enggan menandatangani perjanjian tersebut.
Tindakan beliau ini akhirnya berjaya mendapatkan tandatangan semua sembilan Sultan di Tanah Melayu walaupun terdapat bantahan dan keraguan dari sultan-sultan tersebut dalam tempoh tiga bulan dari Oktober 1945 hingga Januari 1946.
Orang Melayu melihat ini satu tindakan yang kurang ajar daripada British khususnya Sir Harold MacMichael yang bertindak biadab terhadap sultan mereka.
Kebiadaban tersebut telah menggerakkan orang Melayu untuk menentang Malayan Union yang bukan sahaja dilihat sebagai satu pencemaran imej sultan oleh British malahan kesannya lebih besar daripada itu lagi.
Faktor-Faktor Penentangan Malayan Union
Tindakan provokasi yang dilakukan oleh British terhadap sultan bukan satu-satunya faktor orang Melayu menentang Malayan Union malahan Malayan Union matlamat asalnya dibentuk adalah kerana ingin menyatukan semua negeri-negeri Melayu di bawah satu pentadbiran pusat iaitu kerajaan British.
Hal ini bermaksud Malayan Union akan menjadi negeri naungan British seterusnya menghapuskan terus autonomi sultan-sultan Melayu.
Orang Melayu juga tidak bersetuju dengan rancangan British yang mewujudkan Malayan Union kerana British berhasrat ingin memberikan kerakyatan secara longgar kepada imigran yang dibawa oleh British daripada India dan China.
Kaedah pemberian kerakyatan secara longgar atau nama lainnya ‘jus soli‘ yang akan memberi kerakyatan kepada semua penduduk di Tanah Melayu termasuk Cina dan India yang telah berada di negara itu selama 10 tahun tidak disenangi oleh majoriti orang Melayu.
Orang Melayu melihat ianya sebagai ancaman besar terhadap kedudukan politik, ekonomi, dan sosial mereka di Tanah Melayu.
Kaum Cina dan India pada masa itu dominan dalam sektor ekonomi, terutamanya dalam perdagangan, perladangan, dan perlombongan.
Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar dan terlibat dalam sektor pertanian, merasakan bahawa mereka mungkin akan kehilangan peluang ekonomi jika kaum bukan Melayu yang lebih berkemampuan dari segi ekonomi mendapat hak yang sama dalam kerakyatan.
Selain itu, pembentukan Malayan Union akan terus mengenepikan kuasa sultan-sultan Melayu yang hanya akan meletakkan mereka berkuasa dalam hal ehwal adat dan agama sahaja.
Keadaan ini akan terus meletakkan Tanah Melayu terus di bawah kekuasaan British dan menyukarkan hasrat mereka untuk menuntut kemerdekaan penuh daripada British.
British bertindak bijak dengan mengetahui kesetiaan yang tinggi orang Melayu terhadap sultan mereka yang menjangkakan segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh sultan pasti akan dipatuhi oleh rakyat namun orang Melayu bertindak dengan berani menuntut sultan untuk menarik semula keputusan menandatangani perjanjian tersebut.
Apakah Kesan Yang Berlaku Selepas Itu?
Semasa penentangan terhadap Malayan Union, beberapa pergerakan nasionalisme Melayu muncul dan memainkan peranan penting dalam menyatukan orang Melayu serta memperjuangkan hak-hak mereka.
Antara pergerakan nasionalisme yang muncul sewaktu berlakunya rancangan ingin menubuhkan Malayan Union ialah Persatuan Melayu Selangor, Kesatuan Melayu Muda, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Johor, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Barisan Tani Malaya dan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung.
Penentangan terhadap Malayan Union ini juga akhirnya menjadi peristiwa penting kepada tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, oleh Dato’ Onn Jaafar.
UMNO telah menjadi wadah utama bagi perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union yang seterusnya menjadi titik tolak kepada UMNO untuk mentadbir Tanah Melayu selepas merdeka daripada British pada tahun 1957.
Rakyat Melayu di seluruh negara bangkit dengan protes dan demonstrasi besar-besaran bagi menyuarakan bantahan terhadap rancangan jahat British ini.
Mereka mengadakan bantahan, termasuk boikot dan perhimpunan, untuk menyuarakan penentangan mereka terhadap Malayan Union.
Demonstrasi terbesar berlaku pada Hari Pertabalan Raja George VI pada 8 Jun 1946, di mana orang Melayu secara simbolik memboikot upacara tersebut.
Selain daripada peranan yang dimainkan oleh pemimpin Melayu dan rakyat dalam protes ini, akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat dan membangkitkan kesedaran di kalangan orang Melayu mengenai bahaya Malayan Union.
Utusan Melayu menjadi wadah kepada penulis dan wartawan untuk meluahkan buah fikir serta kritikan terhadap rancangan penubuhan Malayan Union yang kemudiannya menjadi alat propaganda orang Melayu dalam menentang British.
Setelah melihat betapa kuatnya arus penentangan yang dibawa oleh rakyat, sultan-sultan Melayu yang pada awalnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian Malayan Union di bawah tekanan British, akhirnya menarik balik sokongan mereka selepas menyedari tentangan hebat dari rakyat mereka sendiri.
Akibat daripada penentangan hebat dari orang Melayu, British akhirnya akur dengan kehendak rakyat.
Malayan Union dibubarkan pada 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Persekutuan Tanah Melayu memperkenalkan sistem pemerintahan yang lebih seimbang, di mana kuasa politik sultan-sultan Melayu dikembalikan, dan kerakyatan diberikan berdasarkan syarat yang lebih ketat.
Perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union tidak hanya menjadi tanda kesedaran politik di kalangan orang Melayu tetapi juga menjadi asas penting dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemerdekaan Malaysia.