NILAI, 21 Julai – Calon BERJASA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai, Ustaz Zamani Ibrahim optimis terhadap penerimaan masyarakat Cina dan India selepas bertemu pelbagai lapisan pengundi pada hari ketiga kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Kempen beliau bermula seawal jam 6 pagi dengan solat Subuh berjemaah sebelum meneruskan sesi walkabout di Pekan Lama Nilai.
Sepanjang program itu, Zamani mengunjungi premis perniagaan dan restoran di sekitar Pekan Lama Nilai, termasuk Restoran Dapur Melaka, bagi bertemu masyarakat Cina dan India serta mendengar pandangan mereka mengenai isu setempat.
Beliau berkata pendekatan turun padang memberi peluang untuk memahami sendiri keperluan rakyat tanpa mengira kaum.
“Saya gembira apabila ramai pengundi, khususnya masyarakat Cina dan India, teruja untuk bertemu buat pertama kali. Mereka berkongsi pelbagai pandangan, aduan dan harapan terhadap masa depan Nilai,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout.
Tekankan kebajikan semua kaum
Mengulas slogan kempennya, ‘Undi Calon Muslim Berwibawa’, Zamani berkata ia mencerminkan komitmen untuk menjadi wakil rakyat yang berintegriti serta mengutamakan kebajikan seluruh masyarakat.
Menurutnya, tanggungjawab seorang wakil rakyat bukan hanya mewakili kelompok tertentu, sebaliknya memastikan setiap komuniti mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Slogan berwibawa itu menunjukkan sifat amanah yang ingin kita tunjukkan kepada semua bahawa kita akan menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang menjaga kebajikan semua kaum,” katanya.
Ekonomi antara harapan utama pengundi
Dalam pada itu, Zamani berkata pertemuannya bersama peniaga Cina dan India mendapati isu ekonomi menjadi antara kebimbangan utama yang dibangkitkan.
Beliau berkata sebahagian besar daripada mereka mahukan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan bersikap terbuka terhadap idea serta pendekatan baharu.
“Saya jumpa peniaga Cina dan India. Rata-rata mereka mahukan ekonomi yang baik dan terbuka kepada sebarang pembaharuan daripada parti yang baharu,” katanya.
Bekas pegawai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan itu berkata pengalaman yang dimiliki memberi keyakinan untuk membawa suara baharu kepada pengundi Nilai sekiranya diberi mandat.
Katanya, beliau akan terus mengutamakan pembangunan kawasan dan kebajikan rakyat secara seimbang sepanjang tempoh berkhidmat.
Teruskan siri turun padang
Zamani berkata beliau akan meneruskan pendekatan turun padang sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan setiap peluang dimanfaatkan untuk mendengar sendiri suara rakyat.
Selepas sesi walkabout di Pekan Lama Nilai, beliau meneruskan kempen di Pasar Malam Taman Semarak sebelum menghadiri program di Surau Taman Semarak dan Masjid Al-Azim, yang berakhir sekitar jam 9 malam ini.