Wujud ura-ura yang mengatakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada bulan Julai nanti akan dinaikkan yang akan diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Polisi Monetari (MPC) Bank Negara nanti.
Walaupun ahli-ahli ekonomi tidak sependapat berkaitan keputusan kadar OPR namun ramai yang mengatakan besar kemungkinan OPR akan naik seperti biasa.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd yakin OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini manakala OCBC Bank dan UOB pula yakin kadar OPR akan dikekalkan.
Jika benar kadar OPR akan naik, ini semestinya didorong oleh faktor kadar inflasi kekal tinggi ditambah dengan penurunan nilai mata wang Ringgit secara menerus.
Benar kadar OPR akan dinaikkan bagi mengawal kadar inflasi daripada terus parah berlaku namun apakah solusi kerajaan untuk memastikan kadar inflasi ini mampu dikawal tanpa melibatkan tindakan untuk menaikkan OPR?
Meletakkan cara penyelesaian untuk inflasi dengan menaikkan kadar OPR hanya membebankan rakyat sahaja dan ia ibarat satu penyelesaian yang hanya digerakkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja.
Kerajaan sepatutnya turut serta mengambil beberapa langkah atau solusi untuk meredakan isu ini bukannya bergantung semata-mata kepada keputusan BNM.
Penulisan ini tidak menafikan entiti BNM yang bertanggungjawab untuk menguruskan dasar monetari dan ekonomi negara namun kerajaan sebagai pihak eksekutif mempunyai peranan yang lebih besar dalam menyelesaikannya dengan melibatkan dasar dan polisi ekonomi.
Rakyat bukannya mengharapkan apa-apa ‘formula’ daripada menteri berkenaan mahupun kerajaan, cukuplah ekonomi negara ini berjaya dipulihkan kerana mereka sudah penat ditekan daripada dahulu lagi tidak kira golongan B40, M40 dan T20.
Pena
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA atau parti BERJASA.