Idea Fahmi Fadzil Bukan Penyelesai Masalah Perpaduan Kaum

perpaduan kaum

BANGI – Kerajaan sepatutnya memainkan peranan penting dengan memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita bukannya ‘mempersembahkan’ idea separuh masak untuk memantapkan lagi perpaduan kaum di negara kita. Pemupukan semangat perpaduan kaum perlu disokong dengan langkah yang kukuh untuk meyakinkan semua kaum menyokong idea tersebut.

Demikian respon Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim dalam mengulas mengenai idea Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menggesa kanak-kanak untuk membaca buku yang memaparkan kepelbagaian kaum dan agama. Gesaan ini dibuat kononnya untuk mengukuhkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Zamani Ibrahim tidak menafikan budaya membaca buku amat bagus untuk kanak-kanak malahan rakyat Malaysia namun kerajaan perlu mempunyai idea yang lebih besar untuk mengatasi isu perpaduan kaum ini. Beliau meragui sama ada budaya membaca sahaja mampu memberikan keharmonian antara kaum.

“Fahmi Fadzil sepatutnya melihat isu ini dalam kerangka yang lebih besar memandangkan beliau sudah pun berada di dalam kerajaan. Apa yang Fahmi Fadzil boleh cadangkan selaku menteri di dalam kerajaan adalah memantapkan lagi sistem pendidikan negara kita melalui sekolah kebangsaan”.

“Beliau sepatutnya menggesa kerajaan menetapkan hanya sekolah satu aliran sahaja iaitu sekolah kebangsaan sebagai medium pendidikan negara. Sistem pendidikan kebangsaan sepatutnya diperjuangkan oleh kerajaan apabila membicarakan dalam konteks ini”.

“Alangkah baiknya apabila semua murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat belajar di bawah bumbung yang sama, tidur di asrama yang sama, bermain bersama dan bergaul secara bersama. Ini yang sepatutnya kerajaan sedar jika mahu menyatupadukan semua kaum”, tegas beliau.

Tambah beliau lagi, saranan beliau itu dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan semua kaum kerana semua jelas bahawa bahasa Melayu adalah bahasa utama negara ini.

“Idea sekolah satu aliran ini dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid di peringkat bawah lagi. Kita tidak mahu mereka menjadi seperti sebahagian ahli Parlimen di luar sana yang masih kekok untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan betul”, ulas beliau.

Di akhir kenyataan beliau, beliau menyarankan kerajaan untuk bertanggungjawab dalam memastikan semua bangsa di Malaysia menerima sistem pendidikan yang sama demi kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
padi

Kilang Padi Melayu Berisiko Lenyap?

Next Post
Malaysia

Negara Di Landasan Yang Salah: Ini Pendapat Rakyat Malaysia

Related Posts