KAPAR – BERJASA Kapar mengambil pendekatan yang cukup kreatif dengan bakal menganjurkan program Maqlubah Aqsa pada Ahad ini yang akan bermula pada pukul 8.45 pagi hingga 12.00 tengahari. Program tersebut akan berlangsung di Pusat Aktiviti Masyarakat (PAM), Lorong Masjid Lama An Nawawi.
Program ini diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan isu yang terjadi di Palestin seterusnya cakna dengan nasib yang menimpa warga Palestin di Gaza. Selain daripada pengisian program yang diisi dengan aktiviti ceramah, program ini menampakkan kelainan dengan menyajikan menu tradisi Palestin iaitu nasi maqlubah.
Mengikut sejarah Palestin ada meriwayatkan tokoh pejuang Islam, Salahuddin Al-Ayyubi dijamu dengan hidangan nasi terung setelah berjaya membebaskan Baitulmaqdis daripada kerajaan Rom. Salahuddin AL Ayubi menamakan hidangan ini sebagai nasi maqlubah kerana cara hidangan yang istimewa dan tersendiri dengan menterbalikkan periuk ketika menyajikannya.
Bukan itu sahaja malahan program ini juga akan diserikan dengan kehadiran saudari Ruaa daripada Gaza. Para peserta juga digalakkan untuk memakai pakaian yang bertemakan warna bendera negara Palestin untuk sama-sama mendengar perkongsian berkenaan sejarah Palestin dan menikmati juadah khas iaitu nasi maqlubah bersama BERJASA Kapar.