Tatkala ada pihak berkobar-kobar mahu mempertahankan sekolah vernakular, parti BERJASA mengambil pendirian tegas untuk memperkukuhkan sekolah kebangsaan dalam negara.
Ini kerana selain medium perpaduan, sekolah kebangsaan dilihat sebagai elemen penting dalam pembangunan sebuah negara bangsa, kata Setiausaha Agung BERJASA, Cikgu Zulkifli Yahya.
“Sekolah kebangsaan adalah medium penyatuan rakyat. Kanak-kanak yang disatukan sejak sekolah rendah lebih memahami erti perpaduan yang sebenar.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya, adalah antara ungkapan yang sangat sinonim serta selalu diulang oleh kita.
“Namun, ia hanya akan kekal sebagai teori yang cantik di atas kertas jika tiada sebarang praktikal dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, pemimpin utama UMNO memberi jaminan untuk mempertahankan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.
Janji manis itu dilaungkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menyifatkan, sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di negara ini.
Dalam pada itu, Cikgu Zulkifli menggesa kerajaan yang bakal terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menekankan elemen perpaduan.
Katanya, BERJASA telah menggariskan dengan penuh terperinci keberhasilan elemen itu di dalam Impian Nasional BERJASA 2040.
“Elemen inilah definisi sebenar kestabilan masa depan yang kita semua impikan.
“Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar atas kertas, tetapi fokus kepada pelaksanaan,” katanya.
Sumber ismaweb.net https://ismaweb.net/2022/10/27/1berjasa-mahu-perkukuh-sekolah-kebangsaan-demi-anak-bangsa/