Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di dalam kempen PRK Sungai Bakap yang lalu telah mengeluarkan perkataan yang kurang sopan seperti ‘bodoh’ dan ‘bahlol’ di hadapan khalayak umum. Rafizi mengeluarkan perkataan sedemikian sebagai tindak balas kepada pengkritik yang mempersoalkan ‘formula’ kerajaan perpaduan dalam menyelesaikan isu ekonomi.
“Dia duk tanya, kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlol. Formula tengah jalanlah bodoh,” kata Menteri Ekonomi itu sewaktu ceramah pada 5 Julai lalu.
Bagaimanapun ungkapan itu nampaknya memakan diri selepas PH tewas di kerusi berkenaan.
Kenyataan beliau itu menampakkan kesombongan dan kurangnya keterbukaan langsung kepada kritikan terhadap beliau dan kerajaan.Tindakan beliau sepertinya ingin menyampaikan mesej kepada semua orang bahawa pengkritiknya langsung tidak tahu apa-apa dan tidak layak memberikan pendapat untuk kebaikan negara.
Keceluparan beliau itu juga menunjukkan beliau tidak meraikan kebebasan bersuara yang sepatutnya wujud demi meraikan pendapat semua pihak. Mungkin beliau sudah lupa bahawa beliau dan penyokongnya juga dahulunya memperjuangkan kebebasan bersuara setelah ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan dokumen sulit yang menunjukkan kaitan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Seeloknya beliau bersikap lebihb merendah diri apabila berhadapan dengan kawan ataupun lawan. Kata-kata beliau agak kurang manis dan tidak menampakkan beliau sebagai seorang yang berani malah lebih memakan diri beliau akhirnya.
Akhir-akhir ini, rakyat sudah pun begitu muak dengan prestasi kerajaan sekarang yang gagal mengawal kenaikan kos sara hidup, namun sekarang mereka terpaksa menerima pula menteri yang asyik mengeluarkan kata-kata yang buruk. Bukan sahaja imej parti dilihat tercemar, malah negara seluruhnya disebabkan wujudnya pemimpin hilang adab sebegini.