BANGI – Tindakan daripada pihak kerajaan Madani yang dahulunya melaungkan kebebasan bersuara dan kini bersikap cenderung menyekat suara pembangkang adalah satu tindakan yang bacul, pengecut dan tidak bertanggungjawab. Kerajaan Madani amat pengecut untuk mendengar sebarang kritikan yang dilemparkan kepada mereka walaupun ia berasas.
Berikut merupakan kenyataan media daripada Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim dalam memberikan respon mengenai insiden akaun Tik Tok milik beliau yang dibenam oleh pihak kerajaan. Beliau melihat ia sebagai satu tindakan yang bacul oleh kerajaan untuk menutup kelemahan mereka.
Beliau juga menegaskan kandungan video yang ada di media sosial Tik Tok beliau selama ini adalah daripada suara hati rakyat yang bercita-cita untuk melihat Malaysia menjadi lebih baik dengan identiti nasional yang jelas. Beliau yakin bahawa Malaysia berpotensi untuk kembali ke zaman kegemilangan peradaban Melayu dengan cara memperbaiki segala sudut lemah yang ada dalam pengurusan sumber nasional terutamanya kelemahan ahli politik yang terlalu rakus mengikut hawa nafsu dan tidak mempunyai agenda yang jelas dalam membangunkan negara ke arah kegemilangan.
“Kerajaan hari ini seakan-akan cuba menutup kelemahan mereka dengan memanipulasi agensi-agensi yang ada untuk menidakkan segala pandangan rakyat melalui penyekatan suara mereka di platform media sosial”.
“Saya tidak akan berhenti dan akan terus mewakili suara rakyat untuk terus memberikan pandangan yang kritis dan membina walaupun mendapat sekatan daripada pihak berkenaan. Saya menyeru kepada semua pihak yang ikhlas membangunkan negara untuk terus bersuara dengan segala saluran yang ada”, tegas beliau.
Beliau juga mengajak pihak yang kekal setia bersama dengan beliau untuk mengikuti akaun Tik Tok baharunya dengan nama @ustazzamaniibrahim2.