Identiti nasional adalah hasil penghayatan sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia tentang sejarah negara dan bagaimana fabrik sosial negara bermasyarakat majmuk terbentuk.
Perlu diingatkan bahawa masyarakat majmuk Malaysia terbentuk hasil persetujuan semua kaum dalam pemeteraian kontrak sosial yang akhirnya diterjemahkan ke dalam Perlembangaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah semata-mata perundangan, tetapi juga mempunyai satu fungsi utama untuk menyelesaikan masalah sosial, budaya dalam politik demi menjaga perpaduan kaum di Malaysia.
Masyarakat majmuk yang unggul memahami identiti nasional bertunjangkan jati diri Melayu Islam dan tidak menolak keunikan adat dan budaya kaum lain di Malaysia.
Adat dan budaya kaum lain diiktiraf sebagai komponen identiti nasional dan bebas diamalkan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan nilai-nilai adat ketimuran.
Identiti nasional yang membentuk perpaduan utuh dalam kalangan rakyat Malaysia unggul di Malaysia ini akan memastikan keadilan untuk semua kaum. Sudah pasti ia berlandaskan prinsip keadilan dalam perundangan dan prinsip Islam.
Masyarakat majmuk ini akan hidup dalam suasana harmoni dengan semangat perpaduan dan persefahaman yang lahir dari penghayatan identiti nasional.
Hasil dari identiti nasional dan perpaduan negara unggul ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk masyarakat yang hidupnya teratur, berakhlak mulia, berminda kelas pertama, hidup saling menghormati dan bantu membantu.
Ustaz Zamani Ibrahim
Presiden BERJASA
Himpunan Nasional BERJASA 2022