KAJANG – Rombakan kabinet yang berlaku hanya selepas setahun memerintah membuktikan kerajaan sedia ada dibentuk secara tergesa-gesa, gagal berfungsi dan amat lemah. Hal ini jelas menunjukkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah hilang punca dan didesak untuk membuat perubahan, malangnya rombakan yang baru diumumkan juga amat menyecewakan dan pasti gagal membawa apa-apa anjakan besar.
Naib Presiden II BERJASA, Ir. Ts. Muhammad Lukman Al Hakim berkata hanya muka-muka yang sama sahaja ditukar portfolio ke kementerian yang lain manakala bekas-bekas menteri Pakatan Harapan (PH) yang pernah menjawat kerajaan PH 1.0 seperti Dr. Dzulkefly Ahmad dan Gobindh Singh Deo dilantik semula ke dalam kabinet sedangkan mereka tiada pun pencapaian yang membanggakan ketika menjadi menteri dahulu.
“Lebih menyedihkan menteri-menteri yang telah hilang integriti dan penuh kontroversi dikekalkan termasuklah Dato’ Seri Zahid Hamidi, Rafizi Ramli, Dato Sri Tiong King Sing dan Fahmi Fadzil. Barisan baharu yang diumumkan juga membenarkan desas desus sebelum ini yang PMX menerima tekanan yang hebat dari DAP bagi mengukuhkan cengkaman mereka dalam kerajaan”.
“Bagaimana Lim Hui Ying yang terbukti lemah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan? Apa keperluan memecahkan kementerian sedia ada yang hanya untuk memberikan DAP lebih banyak posisi menteri? Semestinya yang paling untung ialah DAP yang mendapat 2 posisi menteri dan 2 posisi timbalan menteri baharu”, ujar beliau.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga telah saiz kabinet daripada 28 ke 31 orang. Hal ini bermakna jumlah keseluruhan menteri dan timbalan menteri bertambah dari 55 ke 60 orang. Malahan ini bertentangan dengan janji PMX yang ingin mengecilkan saiz kabinet yang kononnya untuk menambahkan kecekapan serta tatakelola yang lebih baik (penjimatan). Maka di sini jelas janji hanya tinggal janji.
“Saya yakin rombakan kabinet kali ini adalah hasil desakan parti-parti dalam kerajaan campuran Madani. Ia dibuat untuk mengenyangkan nafsu serakah politik masing-masing, bukannya untuk kemajuan negara dan kemaslahatan rakyat. Jelas PMX terpaksa tunduk dan mengalah kerana beliau sememangnya lemah”, tegas beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari Selasa mengumumkan rombakan Kabinet yang dilaksanakan buat kali pertama selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.