Calon DUN Nilai: Langkah Pertama BERJASA di Peti Undi Demi Penyatuan Ummah

dun nilai
dun nilai

NILAI, 24 Julai — Calon Parti BERJASA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Ustaz Zamani Ibrahim, tampil menjawab persoalan ramai mengenai pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, sekali gus menolak dakwaan bahawa kehadiran beliau bakal memecahkan undi.

Bercakap kepada pengundi Nilai, Ustaz Zamani menegaskan bahawa BERJASA menyokong penuh kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan beliau sebagai permulaan kepada penyatuan ummah yang sekian lama dinantikan ummat dan dilaungkan secara konsisten oleh beliau sebelum ini.

Kerjasama PN dan BN pada PRN kali ini merupakan permulaan penyatuan ummah yang sekian lama dinantikan, dan BERJASA menyokong serta menghormatinya,” tegas beliau.

Sebagai bukti komitmen parti itu terhadap agenda penyatuan, Ustaz Zamani berkata BERJASA tidak meletakkan sebarang calon di kerusi yang telah diisi oleh calon Melayu daripada BN, PAS mahupun WAWASAN.

Kami tidak meletakkan walau satu calon di kerusi yang sudah ada calon Melayu daripada BN, PAS mahupun WAWASAN. Itu prinsip penyatuan yang kami pegang, bukan sekadar omong kosong,” ujarnya.

Namun menurut beliau, dalam konteks penyatuan itu masih ada satu ruang yang tertinggal, iaitu DUN Nilai. Pemerhatian beliau mendapati segelintir pengundi Nilai memilih untuk duduk di rumah pada hari mengundi kerana merasakan tiada calon yang mewakili suara mereka.

Ada pengundi Nilai yang duduk di rumah pada hari mengundi, bukan kerana tidak sayang negara, tetapi kerana merasakan tiada calon yang mewakili suara mereka.

Oleh itu, BERJASA hadir dan menawarkan diri. Bukan memecahkan undi sesiapa, tetapi mengajak mereka yang selama ini berdiam di rumah untuk keluar semula menunaikan haknya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, calon nombor satu itu menganggap senario tersebut sebagai petanda positif buat landskap politik negara. Beliau menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai titik mula kepada era politik baharu tanah air.

“Saya menganggap PRN Negeri Sembilan ini sebagai titik mula kepada politik baharu tanah air yakni politik yang berpaksikan prinsip, saling menghormati, dan meletakkan ummah di hadapan sebelum kepentingan parti,” jelas beliau.

Mengakhiri kenyataannya, Ustaz Zamani turut menyampaikan komitmen beliau kepada seluruh penduduk Nilai tanpa mengira kaum.

Kepada semua warga Nilai, Melayu, Cina dan India, kali ini saya ada untuk mendengar, berkhidmat, dan menyampaikan suara anda semua,” katanya.

Ustaz Zamani Ibrahim bertanding di DUN Nilai sebagai Calon Nombor 1 pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
calon dun nilai

Calon Dun Nilai: Nilai tiada hospital, ini sebuah kegagalan

Related Posts