SEREMBAN, 27 April 2026 — Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan mempertimbangkan kerjasama strategik susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan dakwaan Menteri Besar hilang sokongan majoriti.
Krisis politik dan keutamaan rakyat
Menurut Zamani, situasi tersebut berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri dan tidak harus berlarutan.
“Keutamaan semua pemimpin politik perlu kembali kepada asas perjuangan sebenar, iaitu mendahulukan kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.”, tambahnya.
Seru kerjasama strategik PN dan BN
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan BN, khususnya Umno, dan PN di negeri ini agar mempertimbangkan langkah ke arah penyatuan strategik demi kepentingan rakyat.
Katanya, BERJASA juga bersedia memainkan peranan sebagai pihak ketiga untuk membawa agenda kerjasama tersebut ke meja rundingan.
Elak beban rakyat, perkukuh kestabilan
Zamani berkata rakyat kini berdepan pelbagai isu yang masih belum diselesaikan kerajaan sedia ada, dan ketidaktentuan politik hanya akan menambah tekanan kepada kehidupan harian.
Beliau berpandangan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu mampu memperkukuh kestabilan politik negeri serta menjadi titik tolak kepada usaha penyatuan ummah berteraskan kesepaduan, kestabilan dan kesejahteraan bersama.