Biar Tidak Cukup Mewah Asalkan Mampu Dimiliki

Kenaikan nilai hartanah setiap tahun seakan sukar dibendung walaupun telah mendapat desakan daripada rakyat atau badan bukan kerajaan agar kerajaan mengawal kenaikan harga rumah. Sebenarnya nilai hartanah sukar dikawal oleh kerajaan kerana ia telah ditetapkan melalui harga pasaran yang kebiasannya ditentukan pula melalui permintaan.

Manusia melalui sifat semula jadinya memang memerlukan tempat perlindungan maka permintaan terhadap akan sentiasa meningkat setiap tahun. Maka secara mudahnya hukum ekonomi menetapkan semakin banyak permintaan, semakin tinggi nilai harga aset tersebut.

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan hanyalah menawarkan projek perumahan rakyat yang mampu dimiliki oleh orang ramai mengikut kelas pendapatan. Untuk maklumat tambahan, kenaikan harga rumah tidak bersandarkan kepada nilai hartanah sahaja malahan turut diambil kira harga bahan binaan seperti simen, keluli dan jubin.

Sedang rancak isu harga rumah diangkat di dalam media arus perdana, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Selangor Datuk Zaini Yusoff telah mengeluarkan satu kenyataan hari ini bahawa pihak pemaju akan mengambil beberapa langkah bagi menyerap kenaikan kos bahan binaan antaranya mengurangkan keluasan unit rumah yang bakal dibina.

Beliau juga menegaskan bahawa antara langkah lain yang boleh diambil dalam menawarkan rumah mampu milik yang lebih rendah atau kekal harganya dalam pasaran adalah penggunaan bahan-bahan yang lebih murah.

Bagi pihak seperti saya yang masih ingin mencari rumah, idea daripada beliau amat baik untuk diimplimentasikan kerana hal ini dapat memberi peluang untuk rakyat Malaysia memiliki rumah dengan harga yang mampu milik.

Dalam sumber yang dipetik daripada Buletin TV3, hampir 80 peratus pembeli rumah terpaksa menolak tawaran pemilikan rumah berikutan masalah pembiayaan yang dihadapi. Hal ini menunjukkan hampir majoriti rakyat Malaysia tidak mampu memiliki rumah dan terpaksa menyewa hingga ke akhir hayat.

Bukan itu sahaja malahan sudah banyak berita yang terpampang di media arus perdana bahawa terdapat beberapa hartanah yang tidak terjual dan terpaksa dilelong bagi mendapatkan pembeli. Dalam laman media sosial Facebook milik akaun Selangor Auction Property, sebuah hartanah di Elements Mall, Melaka Raya sedia untuk dilelong pada harga serendah RM17,000 sahaja. Hal ini difahamkan bahawa harga  rendah yang ditawarkan ini berikutan tiada pembida sebelumnya sekaligus membawa kepada lelongan ke 20 bagi hartanah ini.

Rakyat sebenarnya tidak menagih untuk memiliki rumah mewah seperti yang dipaparkan di dalam drama televisyen. Bagi mereka cukuplah untuk memiliki rumah yang sederhana dan selesa untuk didiami selamanya yang berpatutan dengan harganya.

Pena Kimi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA atau parti BERJASA Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kempen Melayu Turun Undi Hangatkan PRN 2023

Next Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Cabar Mahkamah Syariah: Kerajaan Perlu Bertegas

Related Posts