Cabar Mahkamah Syariah: Kerajaan Perlu Bertegas

Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Shah Alam – Isu Nik Elin yang akan berlangsung prosidingnya 17 Ogos ini adalah isu yang hampir sama dengan kes Iki Putra yang mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat merupakan satu tamparan hebat kepada keabsahan sistem perundangan Islam.

Dalam kes Iki Putra, amat jelas dia bukan menafikan kesalahannya meliwat, tetapi dia mencabar Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu sendiri. Iki Putra dilihat begitu berani mengemukakan cabaran ini dan dilihat seakan tidak keseorangan dalam membawa isu ini. Sudah tentu ada pihak di belakang yang mendanai atau menyokong tindakan terkutuk dia untuk mencabar enakmen tersebut sebelum ini.

Naib Presiden BERJASA, Ir Lukman Al Hakim ketika dihubungi berkata, beliau melihat isu ini sebagai tindakan tersusun dari pihak yang memusuhi Islam untuk melemahkan undang-undang Islam. Sebelum ini kes transgender yang mencabar Enakmen Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan 1992 juga cuba membawa naratif yang sama.

“Cuba bayangkan jika Nik Elin pula menang kes ini, maka ia bakal menjadi tambahan kes rujukan bagi mencabar semua enakmen jenayah di negeri-negeri di Malaysia dan bakal menyebabkan negeri-negeri tidak lagi mempunyai kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah. Ini tidak dapat dinafikan bila mana Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini sudah pun membenarkan Iki Putra mencabar undang-undang jenayah syariah pada tahun 2021. Semua ini dikhuatiri boleh mengakibatkan seluruh sistem jenayah Islam lumpuh satu persatu!”

“Jika tidak dibendung dan diselamatkan, Mahkamah Syariah akan hilang kuasa untuk memutuskan kesalahan terhadap orang Islam dan akhirnya masyarakat akan terus rosak lantaran tiada penguatkuasaan undang-undang yang mampu membanteras kesalahan-kesalahan syariah yang lain seperti ajaran sesat, tidak berpuasa, tidak solat jumaat, mempersendakan Al-Quran, pelacuran, berjudi, berzina dan lain-lain”, tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau mewakili BERJASA mengatakan bahawa mendesak semua majlis agama dan pihak berkuasa negeri bersatu hati dan menjadi pencelah dalam kes Nik Elin, begitu juga untuk semua ahli Parlimen beragama Islam untuk bersatu hati meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi mengelakkan kes-kes seperti ini berlaku lagi.

Tambah beliau, umat Islam di negara ini telah kehilangan banyak tanah, hasil bumi dan pelbagai jenis kekayaan. Jika undang-undang syariah ini turut hilang, beliau khuatir apa lagi yang tinggal untuk umat Islam dan bangsa Melayu di bumi tercinta milik kita sendiri ini.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri juga menyatakan kebimbangan yang sama dengan menyatakan bahawa kes Iki Putra Mubarak yang telah diputuskan sebelum ini ibarat memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Biar Tidak Cukup Mewah Asalkan Mampu Dimiliki

Next Post

PRN 2023: Rakyat Perlu beri Signal Jelas Pada Kerajaan

Related Posts