Bangi – Politik tanah air menampakkan perjalanan cerita yang menarik pasca PRU-15 ini apabila berkemungkinan akan adanya kerjasama baharu untuk membentuk satu pakatan politik.
Ini susulan dengan keputusan parti Pejuang yang bertindak keluar daripada pakatan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Permintaan Pejuang untuk menyertai PN mendapat respon daripada Ahli Majlis Tertinggi PN yang juga merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan mengatakan bahawa bukan hanya Pejuang malahan BERJASA juga menyatakan keinginan yang sama untuk menyertai PN.
Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya ketika dihubungi berkata BERJASA terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperjuangkan Malaysia ke arah yang lebih baik.
Jelas beliau, BERJASA sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam membangunkan Malaysia unggul dan bermaruah. Pendirian ini konsisten sejak sebelum PRU lagi, dan akan kekal selagi tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan parti dan etika politik matang.
Bagi menjawab permintaan ini, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Semestinya pembentukan kerjasama baharu ini amat dinantikan oleh pemerhati politik tanah air memandangkan suhu politik tanah air akan kembali panas apabila tibanya pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.