Tanjung Malim – Dapatan kajian yang mengatakan sebanyak 71 peratus ahli Kumpulan Simpanan Wang Persaraan (KWSP) tidak mempunyai simpanan wang persaraan mencukupi amat merisaukan.
Dek ditekan oleh kesempitan ekonomi, ramai penyimpan yang mendesak kerajaan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka untuk digunakan dengan kadar segera.
Memandangkan sesi persekolahan dan bulan Ramadhan yang bakal tiba pada pertengahan Mac ini secara serentak, semestinya banyak kos perlu dibelanjakan oleh golongan yang berkeluarga dan peniaga.
Pemuda BERJASA, Meor Azim sedar isu ini sering diangkat di peringkat nasional yang menggambarkan betapa peritnya rakyat menghadapi kos kenaikan harga barang kini.
Bagi beliau, isu ini boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan rakyat masing-masing bertolak ansur.
Beliau berpendapat kerajaan boleh memberi kerjasama dari aspek moratorium dengan perbincangan bersama semua syarikat perbankan.
Kerajaan juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengkaji semula polisi penggunaan wang simpanan KWSP ini yang hanya menetapkan pengeluaran wang boleh digunakan ketika bersara sahaja.
Jelas beliau, “Mungkin kerajaan perlu selidik dan mengkaji semula polisi penggunaan wang simpanan KWSP ini. Jika sebelum ini pengeluaran boleh dibuat kertika bersara, seeloknya kerajaan juga membenarkan pengeluaran wang untuk kes-kes kecemasan tertentu sahaja dengan syarat yang ketat”.
Namun, aspek kesedaran juga tidak dlupakan untuk ditekankan kepada penyimpan KWSP dengan kerajaan boleh mengadakan secara aktif program kesedaran dan ilmu mengenai pengurusan literasi kewangan yang lebih praktikal secara meluas mengikut skala kemampanan hidup B40, M40.
Tambah beliau, rakyat tidak boleh mengharapkan duit daripada KWSP untuk boleh digunakan dalam tempoh yang panjang.
Rakyat perlu edar bahawa simpanan masa depan itu penting tambahan kadar simpanan secara disiplin sangat sukar diamalkan rakyat kita secara umumnya.
Terdahulu, kerajaan mengulangi pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.