Shah Alam: Pembentangan Belanjawan 2024 yang diadakan pada minggu lepas merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Belanjawan 2023 sebelum ini hanya dibentang semula sahaja.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Al-Hakim ketika dihubungi berkata Belanjawan 2024 ini menggambarkan pendekatan ekonomi dan model pembangunan negara yang dianuti Datuk Seri Anwar Ibrahim. Secara ringkasnya, ia boleh difahami sebagai konsep menaikkan cukai daripada orang kaya untuk bantu orang miskin.
Persoalannya adakah solusi ini mampu menghapuskan kemiskinan tegar, pengangguran dan hutang luar negara Malaysia? Itulah persoalan dan pertanyaan yang dibangkitkan oleh beliau dalam melihat rangka belanjawan ini yang dikatakan ingin membasmi masalah kemiskinan.
“Orang kaya yang ingin kerajaan lebihkan cukai perlu didefinisikan dengan betul. T20 secara pukal atau T1 (satu peratus manusia terkaya) atau fokus kepada para billionnaires dan syarikat korporat gergasi yang berkeuntungan tinggi? Orang miskin yang ingin dibantu juga perlu dilihat mekanisme bantuan yang paling cekap dan berkesan dalam dalam menyelesaikan masalah mereka secara terus”.
“Saya sejak dulu sangat tidak percaya bantuan once-off boleh menyelesaikan masalah kemiskinan di Malaysia. Kita perlu mengubah ekosistem sosial dan aktiviti ekonomi golongan B40. Saya juga sejak dulu amat meragui keberkesanan pembahagian kekayaan (distribution of wealth) di negara kita. Kutip cukai lebih tidak akan membantu golongan miskin jika ia tidak membantu perubahan ekosistem kehidupan mereka”, jelas beliau.
Tambah beliau lagi, golongan T20 yang dicukai tinggi juga mengharapkan kebajikan seperti yang dinikmati oleh rakyat Finland, Denmark dan Switzerland. Namun apakah tawaran yang kerajaan Malaysia boleh berikan kepada mereka?
“Golongan T20 ini juga merupakan rakyat Malaysia secara sah dan menyumbang kepada ekonomi negara melalui kuasa beli mereka dan bayaran cukai. Sepatutnya kerajaan juga menawarkan insentif yang terbaik kepada mereka bagi mengelakkan mereka memindahkan wang ke negara lain bagi mendapatkan insentif yang lebih besar”, tegas beliau.