Bangi – Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim mengatakan bahawa hubungan BERJASA bersama Tun Dr Mahathir masih dalam keadaan baik.
Beliau menegaskan BERJASA menganggap Tun Dr Mahathir adalah rakan politik yang baik walaupun dilihat oleh orang luar mereka tidak lagi dalam pakatan yang digerakkan dahulu iaitu Gerakan Tanah Air (GTA).
“Saya memandang Tun Dr Mahathir sebagai seorang negarawan yang banyak jasanya kepada negara. Namun ingin saya tegaskan di sini bahawa hubungan kami bersama beliau hanya setakat rakan politik sahaja tanpa adanya campur tangan dalam menentukan hala tuju parti BERJASA”.
“Ia tidak menjejaskan hubungan kami yang sudah terjalin dan saya menganggap beliau boleh dijadikan rujukan kepada kami yang masih baharu dalam kancah politik tanah air”, jelas beliau.
Apabila diajukan soalan berkenaan hubungan dengan GTA pula, beliau mengatakan bahawa BERJASA tidak lagi bergerak dalam GTA lagi kerana proses pendaftaran gabungan tersebut secara sah tidak dapat dibuat setakat ini.
Beliau berkata demikian kerana penarikan keluar oleh Pejuang daripada GTA menyebabkan proses pendaftaran gabungan tersebut ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia perlu dibuat semula.
“Namun ini tidak menjejaskan hasrat BERJASA untuk terus mencari rakan-rakan politik di luar sana kerana kita sedar BERJASA ini hanya parti yang kecil sahaja dan masih mentah dalam politik tanah air. Saya tidak menolak kemungkinan kita boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional, badan pertubuhan bukan kerajaan malahan lebih besar lagi iaitu GTA”, tegas beliau.