SEPANG – Rakyat Malaysia digesa menjayakan kempen menyokong Perjuangan Pembebasan Palestin dalam usaha untuk mengangkat isu Palestin dalam perspektif pembebasan penuh, dan bukan lagi terbatas kepada isu kemanusiaan.
Kempen itu bertujuan mendapatkan petisyen sokongan dari seluruh rakyat Malaysia, bagi memberi tekanan kepada negara haram Israel, dan membuka mata negara serantau serta badan antarabangsa untuk memihak kepada keadilan dan tanggungjawab.
Demikian menurut Ketua Pemudi BERJASA Sepang, Izaty Rosli yang menjelaskan keperluan mengambil tindakan berani demi mengembalikan hak dan kebebasan kepada rakyat Palestin.
“Kempen ini dianjurkan oleh Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), dan hasil tandatangan yang terkumpul akan diserahkan kepada Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong, atau Perdana Menteri pada awal tahun 2024 nanti,” katanya.
“Sokongan anda amatlah berharga dan bermakna buat bumi Palestin. Kita mengharapkan kempen ini akan mendapat sokongan kuat daripada semua pihak termasuk parti politik, NGO dan tokoh-tokoh di seluruh negara,” tambahnya lagi.