KUALA KUBU BHARU – BERJASA turun berkempen bersama Perikatan Nasional (PN) di dalam kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (PRK KKB) atas agenda perpaduan ummah. Agenda perpaduan ummah menjadi kunci dan agenda utama untuk BERJASA dan semua jenteranya turun beramai-ramai menyokong calon PN, Khairul Azhari untuk menghadapi PRK KKB.
Ucapan kempen yang dilontarkan oleh Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim menekankan mengenai soal perpaduan orang Melayu dan Islam di dalam politik. Beliau mengingatkan kepada pengundi bahawa BERJASA tetap konsisten dengan agendanya untuk melihat orang Melayu bersatu-padu dalam arena politik negara.
Ramai pihak yang mempersoalkan mengenai penglibatan BERJASA di dalam kempen PN sedangkan BERJASA bukannya parti komponen di dalam PN. Namun, kesungguhan Presiden BERJASA dan ahli BERJASA dalam membantu jentera PN berkempen telah membuka mata ramai pihak mengenai kesungguhan BERJASA dalam kempen ini.
Di dalam kempen PRK KKB semalam, Presiden BERJASA mendapat penghormatan yang tertinggi untuk duduk di atas pentas yang sama bersama ‘top gun‘ daripada PN iaitu Dato’ Seri Azmin Ali, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tun Faisal dalam menyampaikan ceramah politik di hadapan pengundi KKB.
Selain daripada agenda perpaduan ummah, Presiden BERJASA turut berkongsi idea yang sama bersama Dato’ Seri Azmin Ali dalam menyentuh soal ekonomi negara yang kian merosot. Hal ini membuktikan BERJASA berkongsi aspirasi yang sama bersama PN untuk melihat Malaysia akan menjadi lebih baik di masa hadapan.