Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif menyatakan kekesalan terhadap tindakan Tik Tok yang memadam gambar kandungan artikel isu pendaratan tentera laut China di Pulau Pinang.
Artikel yang bertajuk ‘Kehadiran 1,000 Tentera Laut China Di Pulau Pinang Dikhuatiri Ancam Kedaulatan Negara’ hasil kenyataan beliau didapati telah hilang di akaun Tik Tok milik Gelombang BERJASA.
Beliau mempersoalkan apakah kewajaran pihak Tik Tok menghapuskan kandungan tersebut sedangkan pihak BERJASA hanya membangkitkan soal kekhuatiran terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebelum ini juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa tiada isu ancaman kepada kedaulatan negara apabila mereka mendarat dan mengadakan lawatan di Pulau Pinang.
Jika benar dakwaan sedemikian, mengapa Tik Tok menghapuskan kandungan kenyataan daripada pihak BERJASA sedangkan Fahmi Fadzil dilihat sudah ‘meyakinkan’ rakyat untuk tidak panik terhadap kehadiran tentera itu?
Hal ini jelas menampakkan kerajaan sendiri tidak yakin dengan pendirian dan kenyataan mereka sehingga cuba menutup suara pihak lain yang cuba mendapatkan jawapan yang konkrit.
Hormati Hak Kebebasan Bersuara Dalam Soal Pendaratan Tentera Laut China Di Pulau Pinang
BERJASA melalui Mohd Hamdan menggesa semua pihak termasuk kerajaan agar menghormati hak kebebasan bersuara di Malaysia selagi ia tidak mengancam keharmonian negara.
Beliau berpandangan semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bertanyakan tentang tujuan tentera laut China hadir ke Malaysia bersama dua buah kapal lengkap bersenjata ke Malaysia.
Mereka juga dibenarkan mewalat sekolah persendirian Cina dan mengadakan perlawanan persahabatan bersama murid-murid dengan bermain ping pong dan bola keranjang.
Tidak cukup dengan itu malahan terdapat beberapa gambar murid-murid sekolah tersebut memegang bendera China di tangan.
Jika benar dakwaan kerajaan Pulau Pinang yang mengatakan lawatan tersebut untuk mempereratkan lagi hubungan antara Malaysia dengan China, mengapa hanya bendera China sahaja diangkat dan bendera Malaysia langsung tidak kelihatan?
Rakyat berhak mendapatkan penjelasan kukuh daripada kerajaan tentang isu ini kerana jawapan yang diberikan oleh kerajaan bersifat separuh masak sahaja.
Satu tindakan yang bacul daripada kerajaan apabila menyekat rakyat untuk bersuara tanpa memberi penjelasan yang kukuh.