Sungguh mengejutkan apabila The Star melaporkan kehadiran tentera laut China di Pulau Pinang dengan kekuatan seramai 1,000 orang dan 2 buah kapal tentera laut yang lengkap bersenjata.
Kehadiran mereka itu dipercayai di atas jemputan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang bernama Datuk Seri Law Choo Kiang.
Mereka kemudiannya melakukan lawatan ke sekolah persendirian Cina iaitu Chung Ling Private High School yang mana mereka juga sempat mengadakan perlawanan persahabatan ping pong dan bola keranjang bersama murid-murid di sekolah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai mengatakan bahawa lawatan ini dibuat bagi merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan China.
Bukan itu sahaja malahan dengan naifnya beliau mengatakan kehadiran tentera laut China ini menunjukkan komitmen China untuk mewujudkan rantau yang aman dan stabil.
Tentera Laut China Berkali-Kali Menceroboh Sempadan Malaysia Di Laut China Selatan
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif pantas menyatakan bantahan terhadap lawatan ini kerana jelas tentera laut China sudah beberapa kali menceroboh sempadan laut Malaysia di Laut China Selatan.
Bukan itu sahaja malahan pihak China sendiri telah mengemukakan nota diplomatik kepada Malaysia dengan menuntut agar menghentikan aktiviti minyak dan gas di beberapa blok utama di luar pesisir Sarawak, berhampiran Terumbu Karang Luconia Shoals.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa China tetap dengan sikap berkerasnya dalam menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai haknya dan menggunakan tentera laut mereka untuk mengancam mana-mana negara yang berdegil menjalankan aktiviti di laut tersebut.
Beliau juga mempersoalkan sama ada kehadiran tentera laut China untuk ‘lawatan’ ini telah mendapat kebenaran bertulis daripada Kementerian Pertahanan dan Wisma Putra.
Pihak kerajaan mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang perlu bertanggungjawab dalam menjelaskan tentang tujuan dan objektif tentera laut China ini datang ke Pulau Pinang.
Beliau yakin kerajaan mahupun rakyat sudah cakna bahawa kehadiran mereka adalah satu ancaman kepada kedaulatan negara dengan melihat situasi geopolitik yang panas di Laut China Selatan sekarang.
Beliau mewakili BERJASA meminta penjelasan daripada Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan untuk perkara ini.