Parti BERJASA Malaysia mendesak agar kerajaan menyiasat terhadap The Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) di bawah Akta Hasutan.
Hal ini susulan dakwaan tidak bertanggungjawab MCCBCHST yang mendakwa penyusunan para pegawai JAKIM dalam kementerian dan jabatan kerajaan adalah satu langkah yang tidak berperlembagaan.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Al-Hakim berpendapat kenyataan ini amat terang dan jelas berniat jahat untuk menggugat peranan JAKIM dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti diiktiraf semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Beliau menegaskan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sudah lama sejak 2006 lagi dan ia dibuat bagi memastikan integriti, kebajikan dan pembangunan kerohanian para penjawat awam yang beragama Islam di pelbagai jabatan serta kementerian.
Masanya Untuk Gunakan Akta Hasutan Dengan Bertanggungjawab
MCCBCHST tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sedemikian kerana ia dilihat seakan mereka berniat secara sengaja untuk menyibuk dan menjaga tepi kain agama Islam serta umat Islam di Malaysia.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka ini jelas berbaur hasutan yang akhirnya boleh mengancam perlembagaan negara.
Tambah beliau, BERJASA akan bertindak membuat laporan polis terhadap isu ini dan ingin mengajak semua pihak yang sayangkan agama Islam tampil untuk membuat tindakan yang sama.
Beliau berpendapat tindakan ini tidak boleh dbiarkan sama sekali kerana sepatutnya MCCBCHST hanya bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan penganut agama masing-masing bukannya bertindak melulu mencampuri urusan agama Islam sehingga menuangkan minyak ke dalam api perkauman.
Kini masanya untuk kerajaan menggunakan Akta Hasutan yang kontroversi itu dengan penuh bertanggungjawan iaitu melaksanakannya dalam keadaan yang betul bukannya bermotifkan politik untuk menekan lawan politik.
Isu ini sudah melepasi garisan merah 3R (race, royal, religion) maka pelaksanaan Akta Hasutan terhadap isu ini ada relevannya.
Sebelum ini, MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan seperti yang dilaporkan oleh Daily Express sebelum ini.